oleh: Syameera dan Syawalil Fitri

Tanjong Malim, 23 April 2025 – Kolej Ungku Omar pertama kalinya membangunkan program larian antarabangsa berunsurkan elemen kebudayaan kepada masyarakat. Program Balari – Larian Satria Antarabangsa merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar.

Aktiviti fun run ini dijalankan di sekitar Kampus Sultan Azlan Shah dimana terdapat checkpoint. Di setiap checkpoint disajikan dengan beberapa kuih-muih tradisional seperti kuih keria dan kaswi. Program ini turut menggalakkan peserta menggunakan aksesori batik semasa larian.

Program ini telah melibatkan mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universitas Bina Darma dan Universitas Mercu Buana.

Persediaan peserta sebelum larian
Peserta yang berjaya menamatkan larian dengan jayanya

Antara objektif program ini dilaksanakan termasuk meningkatkan pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi terhadap seni dan budaya tradisional di Malaysia dan Indonesia melalui aktiviti sukan.

Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mempromosikan warisan budaya masing-masing dengan lebih kreatif.

Program yang mengetengahkan elemen unik ini bukan sekadar memberi manfaat dari sudut kesihatan fizikal, malah turut menyemai rasa cinta dan kebanggaan terhadap seni tradisional yang semakin dilupakan.

Maklum balas daripada peserta Indonesia
Barisan pentadbiran Kolej Ungku Omar bersama peserta Indonesia

Melalui pemakaian aksesori batik yang kreatif dan berwarna-warni, para peserta berpeluang mengekspresikan identiti budaya mereka dengan penuh gaya.

Sentuhan budaya tempatan ini bukan sahaja menceriakan suasana, bahkan menghidupkan semula warisan seni yang kaya dan bermakna.

Aktiviti ini juga dihasilkan dengan berpaksi kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG).

Melalui SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), program ini dapat menjadi platform untuk mendidik mahasiswa mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan kecergasan fizikal di samping mempelajari budaya dan adat tradisional di negara masing-masing.

Dalam masa yang sama SDG 5 (Kesaksamaan Jantina) turut diterapkan dalam program ini. Program ini menggalakkan penyertaan daripada jantina lelaki mahupun perempuan dan memberi peluang kepada semua golongan untuk menunjukkan kebolehan dan kemampuan dalam aktiviti sukan.

Menurut salah seorang peserta daripada Indonesia dalam ucapannya, “saya berasa amat teruja dan berbesar hati dapat menyertai program yang begitu unik ini, apatah lagi kerana aktiviti seperti ini jarang sekali dianjurkan di tempat saya.

Ia menjadi satu pengalaman manis yang sukar dilupakan. Lebih mengagumkan, saya turut terinspirasi melihat semangat para peserta yang berlari sambil mengenakan pakaian tradisional — batik — sebagai simbol penghargaan dan kebanggaan terhadap seni warisan tempatan.

Acara ini benar-benar memperlihatkan bagaimana budaya dan gaya hidup sihat boleh diraikan dalam satu acara yang bermakna.

Pengarah program, Suhailah dalam ucapannya, “Program larian sememangnya sering dianjurkan di pelbagai universiti, namun tidak banyak yang mengangkat elemen kebudayaan sebagai sebahagian daripada pengisiannya.

Justeru, saya berasa amat teruja dan berbesar hati kerana dapat menyelitkan unsur kebudayaan dalam program kali ini.

Usaha ini bukan sahaja menambah keceriaan kepada peserta, malah turut menjadi medium untuk memperkenalkan keindahan busana batik – khususnya kepada peserta antarabangsa – sebagai warisan seni yang membanggakan negara, jelasnya.

Kerjasama yang hebat daripada semua pihak telah membantu program ini mencapai objektif yang diingini.

Kejayaan penganjuran program ini bukan sahaja dinilai daripada sudut penyertaan yang aktif, malah pendekatan penggunaan aksesori batik telah menambah elemen unik yang menyerlahkan identiti budaya setiap negara.

Program ini juga telah membuka ruang kerjasama yang berterusan antara kedua-dua buah negara dalam bidang sukan.

Ini membuktikan bahawa program Balari – Langkah Satria Antarabangsa bukan hanya sekadar acara larian, tetapi sebagai aspirasi kepada program-program yang akan datang untuk menerapkan elemen tradisional dalam aktiviti yang dirancang.