Oleh: Wan Nur Farah Nabila Long Ismail
Klang, 14 Mei 2025 – Persatuan Geografi (PERGEO), Fakulti Sains Kemanusian (FSK) menganjurkan Projek Kaseh Gelandangan pada 14 Mei lalu. Projek ini dikendalikan oleh Exco Kebajikan, Kekeluargaan dan Kemasyarakatan (WELFEX) PERGEO sidang 2024/2025 melibatkan 19 orang Ahli Jawatankuasa dan 21 mahasiswa PERGEO. Projek yang berlangsung ini bertujuan untuk meringankan beban golongan gelandangan melalui pemberian bantuan asas dan membina ikatan kemanusiaan.
Projek Kasih Gelandangan ini bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa. Dengan kerjasama NGO BeKind Malaysia, projek ini memberi tumpuan kepada kawasan sekitar Mydin Klang, Selangor, menjadi lokasi strategik yang sering menjadi tempat berteduh golongan gelandangan. Bantuan berupa makanan, minuman, pakaian terpakai yang masih baik serta barangan kebersihan seperti sabun dan ubat gigi telah diserahkan kepada golongan gelandangan. Sukarelawan dari NGO BeKind Malaysia turut membantu dalam proses pengagihan dan berkongsi pengalaman mereka.
Menurut Pengarah Projek Kaseh Gelandangan, Nur Murfiqah Amni Marzuki, kerjasama ini memastikan kelancaran pelaksanaan dan memperluaskan manfaat kepada komuniti. Menurutnya, projek ini telah mencapai objektif utama iaitu menjalankan aktiviti kebajikan bersama gelandangan dengan memberikan bantuan makanan dan keperluan asas.


Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Geografi, Mohd Syafiq Razali memuji usaha pelajar dalam menganjurkan program yang memberikan impak yang positif kepada masyarakat. Beliau berkata, “Program seperti Projek Kasih Gelandangan ini bukan sahaja berjaya menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, tetapi juga dapat meningkatkan rasa syukur dan empati dalam diri pelajar, seterusnya membentuk insan yang lebih peka terhadap keperluan masyarakat.”


Projek ini telah memberikan impak positif, bukan sahaja kepada golongan gelandangan yang menerima bantuan, tetapi juga kepada pelajar yang terlibat, dengan memupuk semangat kerjasama, kepekaan sosial, dan kesyukuran dalam diri mereka.
Kejayaan Projek Kasih Gelandangan ini menjadi bukti komitmen Persatuan Geografi dalam melahirkan mahasiswa yang berjiwa besar dan bertanggungjawab terhadap masyarakat, sekali gus mengukuhkan ikatan kemanusiaan melalui usaha bersama NGO BeKind Malaysia. Secara keseluruhan, projek ini bukan sahaja mencapai matlamat menyokong komuniti terpinggir, tetapi juga menjadi platform pembentukan sahsiah pelajar yang seimbang dari segi akademik dan nilai kemanusiaan menjadikannya model contoh bagi projek kebajikan masa hadapan.
