Peserta dan AJK Program Rindang Sayang: From Perak to Kenyalang

oleh: Syawalil Fitri, Aliya Asyikin dan Hanim Safia

Kampung Pasir Tengah, 10 Mei 2025 – Buat julung kalinya, program berteraskan kluster sukarelawan kemanusiaan anjuran Exco Penginapan dan Kemasyarakatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sidang 2024/2025 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh bermakna di Kampung Pasir Tengah, Lundu, Sarawak.

Memfokuskan kepada pemberian sumbangan kepada golongan yang memerlukan, program ini telah memberi impak positif kepada penduduk kaum Rara dalam usaha memperbaiki mutu kehidupan mereka.

Para sukarelawan bukan sahaja menyemai nilai empati dan kesyukuran dalam diri, malah turut berpeluang mendalami keunikan budaya tempatan yang menjadi identiti komuniti Rara, menjadikan pengalaman ini sarat dengan pengajaran dan kenangan berharga.

Aktiviti Penanda Aras Bersama Kolej Bunga Raya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Sumbangan kepada golongan yang memerlukan

Program seperti ini turut membuka ruang untuk terjalinnya ikatan baharu antara komuniti kaum Rara bersama Mahasiswa serta Mahasiswi Kolej Ungku Omar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kolej Bunga Raya, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pelbagai aktiviti yang dijalankan bersama bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah mencipta kenangan bermakna yang sukar dilupakan.

Antara pengalaman paling istimewa ialah aktiviti ‘merewang’, yang menjadi detik pertama buat sukarelawan dari UPSI menyertai penyediaan juadah tradisional masyarakat Sarawak.

Proses memasak bersama ini bukan sekadar menyatukan tenaga, tetapi juga membuahkan rasa kekeluargaan yang tulus menjadikan setiap suapan hidangan sarat dengan nilai dan penghargaan budaya tempatan.

Program ini bukan sekadar tertumpu kepada penyampaian sumbangan, malah turut memberi impak yang signifikan sebagai platform penanda aras antara Mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pertemuan ini membuka ruang untuk perkongsian idea serta pertukaran pandangan tentang pendekatan pengurusan yang digunapakai oleh Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dari kedua-dua Universiti.

Melalui aktiviti ini, hubungan kerjasama antara Universiti dapat diperkukuhkan, sekaligus mewujudkan jaringan kolaborasi yang lebih dinamik dan berdaya saing pada masa akan datang.

Salah satu aktiviti utama yang mencuri perhatian dalam program ini ialah aktiviti mural yang dijalankan bersama komuniti kaum Rara di Kampung Pasir Tengah.

Mural yang dilukis di balai raya kampung bukan sahaja mencantikkan suasana, tetapi turut menjadi lambang kerjasama utuh antara Mahasiswa/i dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Lukisan yang memaparkan bendera negeri Perak dan Sarawak saling berpaut erat membawa simbolik mendalam tentang kesatuan, persefahaman, dan semangat kekitaan yang terjalin sepanjang program.

Aktiviti sebegini bukan sahaja menceriakan suasana kampung, malah turut menyemai nilai harmoni dan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan penduduk serta para sukarelawan.

Perasmi program, YB Tuan Mordi iaitu Ahli Parlimen Mas Gading berkata “Program Rindang Sayang: From Perak to Kenyalang bukan sekadar memberi bantuan kepada komuniti kaum Rara, malah membuka mata dan hati para mahasiswa serta peserta terhadap keunikan yang tersembunyi di segenap pelosok kampung ini.

Pengalaman yang dikutip bukan hanya mencorakkan kenangan indah, tetapi juga menyemai rasa penghargaan terhadap budaya dan kehidupan masyarakat tempatan.

Program sebegini wajar diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai dapat menyelami keindahan, nilai kemanusiaan, dan warisan yang tersimpan di kampung ini bagaikan sebuah permata yang menanti untuk dikenali dunia”.

Syrelyn Misol, Pengarah Program dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini, yang bukan sahaja berjalan dengan lancar, malah meninggalkan impak positif kepada setiap peserta dan komuniti kaum Rara yang hadir.

Beliau turut menekankan bahawa program seperti ini bukan sahaja mampu menguatkan hubungan kerjasama antara setiap pihak tetapi secara tidak langsung dapat memperkenalkan budaya kaum Rara tersebut kepada peserta-peserta luar.

Persembahan tarian kebudayaan Kaum Rara
Ucapan daripada perasmi program YB Tuan Mordi
Ucapan daripada pengarah program Syrelyn Misol

Secara keseluruhan, program Rindang Sayang: From Perak to Kenyalang bukan sahaja program kemanusiaan tetapi juga sebagai salah satu platform utama dalam memperkenalkan budaya Kaum Rara kepada para peserta dan masyarakat lain.

Melalui aktiviti yang dijalankan juga turut membuka satu ikatan yang baharu dalam membina jalinan harmoni dan kukuh antara Mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).