Oleh: Nur Izzatul Afifah Azizan
Tanjong Malim, 18 Mei 2025 – Satu program komuniti bertemakan “Sihat, Ceria Masyarakat yang Sejahtera” telah berjaya dilaksanakan dengan penuh meriah dan bersemangat.
Program ini dianjurkan oleh Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sidang 24/25, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Proton City.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pembangunan Manusia, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Bin Masnan.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menekankan bahawa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini merupakan satu langkah penting ke arah pembentukan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai nilai sosial yang tinggi, cakna komuniti dan berdaya kepimpinan.



Turut menyampaikan ucapan ialah Dr. Mohamad Albaree Abdul, selaku penasihat Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Beliau menyatakan rasa bangga terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa pelaksana serta menyatakan bahawa penglibatan aktif pelajar dalam program seperti ini selaras dengan keperluan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Beliau menegaskan bahawa pendedahan awal terhadap aktiviti kemasyarakatan membantu pelajar membina empati, komunikasi berkesan dan kesedaran sivik—nilai penting yang perlu ada dalam diri seorang pendidik masa hadapan.
Program yang berlangsung dari jam 7:30 pagi hingga 12:00 tengah hari ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, Fun Walk sambil gotong-royong di sekitar Tasik Embayu, sukaneka, pertandingan mewarna serta aktiviti Kidszoona.


Acara ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim antara pelajar universiti dan komuniti setempat.
Program ini memberi impak yang sangat positif khususnya dalam menjalin hubungan erat antara mahasiswa UPSI dan masyarakat. Ia menjadi platform terbaik untuk kedua-dua pihak bekerjasama secara langsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekitaan.
Program ini juga membina semangat kerja berpasukan, sikap tanggungjawab sosial serta kesedaran sivik dalam kalangan peserta.
Aktiviti gotong-royong telah membuka mata peserta tentang pentingnya menjaga kebersihan persekitaran, manakala sukaneka dan acara santai lainnya membantu mencipta suasana yang mesra dan ceria.
Aktiviti Kidszoona yang dijalankan turut memberi kesan positif kepada kanak-kanak dengan menyediakan permainan menyeronokkan yang membantu merangsang kreativiti serta keyakinan diri.


Program ini turut menyokong Teras Strategik UPSI dalam aspek keutuhan modal insan, kelestarian ekosistem dan keunggulan graduan, menjadikannya platform berimpak tinggi bagi pembangunan holistik pelajar.
Secara keseluruhannya, “Sihat, Ceria Masyarakat yang Sejahtera” bukan sahaja membawa manfaat kepada peserta dan komuniti, malah mencerminkan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan yang berintegriti, berdaya saing dan cakna masyarakat.
