oleh : Farah Ayuni binti Zakaria

Tanjong Malim, 25 Mei 2025 – Program Sarong Run 2025, anjuran Persatuan Ijazah Sarjana  Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan kolaborasi Bersama Persatuan Diploma  Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) dan Marrybrown cawangan Tanjong Malim telah  berjaya dilaksanakan penuh warna-warni dan semangat kebersamaan dengan penglibatan  semua mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris dan komuniti Mualim.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan pakaian tradisional sarong kepada generasi  muda dalam suasana santai dan menyihatkan. Aktiviti ini juga berperanan sebagai wadah  memupuk semangat perpaduan dan kecintaan terhadap budaya tempatan.

Program telah dirasmikan oleh Dr. Mohd Albaree bin Abdul, Penasihat Persatuan Pendidikan  Awal Kanak-Kanak.

“Program seperti Sarong Run bukan sekadar aktiviti fizikal, malah membawa mesej penting  tentang pemeliharaan budaya dan warisan negara.

“Kehadiran pelajar dari pelbagai latar  belakang juga menyerlahkan semangat perpaduan yang menjadi teras kepada keharmonian  masyarakat Malaysia,” katanya.

Menariknya, Marrybrown cawangan Tanjong Malim turut memberi sokongan penuh kepada  program ini dengan menyediakan 150 cawan air strawberry percuma, membawa maskot  Marrybrown yang menceriakan suasana, serta mengagihkan kad promosi pelajar kepada  semua AJK dan peserta yang hadir.

Program ini diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, Sarong Run,  persembahan nyanyian, pertandingan gaya kreatif sarong, dan kuiz budaya. Sambutan  hangat daripada kira-kira 60 peserta menunjukkan kejayaan program ini dalam mencapai  objektifnya.

Diharapkan Sarong Run 2025 akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program  seumpamanya yang bukan sahaja memartabatkan budaya tetapi juga menggalakkan gaya  hidup sihat dalam kalangan warga UPSI.