Tanjong Malim, 21 Mei 2025- The Education University of Hong Kong telah mengambil pendekatan global dengan menjemput pakar daripada pelbagai negara bagi membincangkan di dalam seminar “Bridging Borders Through Technology: Belt & Road Conference on Special Education” Seminar itu melibatkan peserta dari kalangan pengurus, pelaksana di Kementerian Pendidikan dan pendidik dan pensyarah yang melibatkan beberapa negara seperti Universiti SDU (Kazakhstan), Universiti of Michigan (USA), St. Petersburg Polytechnic University (Rusia), Uni Brunei Darussalam dan negara-negara lain.
Beberapa siri sesi ucaptama dan pembentangan telah berlangsung dengan jayanya di bilik-bilik seminar EdUHK. Kerjasama di antara pengajur utama The Education University of Hong Kong, UPSI dan Universiti SDU turut melibatkan ucaptama daripada UPSI, iaitu Profesor Madya Dr Abdul Halim Masnan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) berkaitan kerjasama dalam Pendidikan Khas Awal Kanak-kanak dan Dr Nurbieta Abdul Aziz (Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Khas) dalam bidang penghasilan video pembelajaran berkaitan Pendidikan Khas.
Program ini bukan sahaja membuka mata ahli akademik yang hadir berkaitan pengenalan pendidikan khas dan awal kanak-kanak berkualiti di Malaysia, malah ia memberi peluang kepada akademia UPSI untuk membina hubungan yang baik bersama EdUHK melalui program yang melibatkan 4P (Pengajaran, Penyelidikan, Perundingan dan Pengkormersialan) ini.

Lawatan kerja ini melibatkan beberapa orang pensyarah di Fakulti Pembangunan Manusia yang diketuai oleh Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, Prof. Madya Dr Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr Eng Hock Kway (Ketua Jabatan Pendidikan Khas) dan Dr Seah Siok Peh (Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak)
Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof Madya Dr Abdul Talib memaklumkan bahawa, “Kolaborasi yang bakal dijalinkan ini akan menjadi satu permulaan yang bakal memberi impak yang besar antara UPSI dengan EdUHK selepas ini. Dengan ranking EdUHK yang sangat baik di peringkat antarabangsa, ia menjadi peluang kepada UPSI untuk mengikut jejak kecemerlangan mereka dalam pengurusan berimpak tinggi.”

Dekan FPM juga turut mengucapkan terima kasih kepada Rektor, Dekan di Jabatan Pendidikan Khas dan Kaunseling serta Prof Leung dari EduHK di atas inisiatif untuk mengadakan kerjasama hubungan dua hala antara dua universiti pendidikan ini. Kunjungan kumpulan akademia dari UPSI ini berkumpul pada detik penting dalam sejarah, di mana persimpangan teknologi, pendidikan dan kerjasama global mempunyai potensi yang belum pernah terjadi sebelumnya untuk mengubah kehidupan. Inisiatif Belt and Road telah lama melambangkan kesinambungan bukan hanya pendidikan dan teknologi berkaitan Pendidikan Khas, tetapi berkaitan inovasi, budaya dan kemanusiaan yang dikongsi bersama. Delegasi FPM juga tidak melepaskan peluang untuk mengadakan lawatan kerja dan perbincangan dalam bentuk kerjasama penyelidikan bersama kakitangan akademia di Shueyan University.

Selain lawatan kerja, Fakulti Pembangunan Manusia juga bakal menandatangani MoU dengan The Education University of Hong Kong (EdUHK). Universiti ini merupakan universiti yang mendapat penarafan Universiti Dunia QS mengikut Subjek 2025, dengan menduduki tempat ke-12 di dunia dalam pendidikan, keempat di Asia dan ke-2 di Hong Kong.

Harapan fakulti adalah melalui program ini lebih banyak kerjasama melibatkan penyelidikan, perundingan, penerbitan, mobiliti pensyarah/pelajar (inbound dan outbound) yang berimpak tinggi dan mengharumkan nama FPM dan UPSI dengan pencapaian ranking 100 terbaik dunia menjelang 2030. Semoga inisiatif ini akan membawa kepada manfaat berpanjangan kepada kedua-dua institusi nanti.
