Cik Senijulita menunjukkan kaedah pengukuran badan kepada pesertaCik Senijulita menunjukkan kaedah pengukuran badan kepada peserta

Oleh: Cik Afifah Adriana Aznan

Pulau Pangkor, 21 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi inisiatif Program Kampung Angkat Madani @Pangkor telah menganjurkan Kursus Pembuatan Pakaian Wanita yang bertujuan memperkasa kemahiran penduduk wanita di Kampung Sg. Pinang Besar, Pulau Pangkor dalam bidang jahitan dan reka bentuk pakaian.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) bersama Jabatan Pembangunan Pengurusan Harta & Benda (JPPHB) yang dilaksanakan di bawah kerangka Corporate Social Responsibility (CSR) ini merupakan usaha berterusan UPSI dalam menyokong aspirasi Malaysia MADANI melalui pemerkasaan komuniti luar bandar.

Cik Senijulita menunjukkan kaedah pengukuran badan kepada peserta
Pendedahan kemahiran asas kepada peserta
Peserta melakukan proses menjahit pakaian

Kursus yang dilaksanakan ini adalah secara bersiri dan kursus siri 1 ini melibatkan penyertaan seramai 30 orang penduduk Kampung Sg. Pinang Besar, Pulau Pangkor, terutamanya suri rumah dan usahawan kecil yang berhasrat untuk menambah ilmu serta menjana pendapatan melalui kemahiran jahitan.

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, sepanjang kursus yang berlangsung selama dua hari ini, para peserta didedahkan berkenaan kaedah pembuatan baju kurung dengan mempelajari kemahiran asas seperti pengenalan jenis fabrik, pengukuran badan, teknik potongan, jahitan asas serta penyediaan pola pakaian wanita oleh Cik Senijulita Johari, Pereka Fesyen dan dibimbing oleh mahasiswa/i kursus Ekonomi Rumah Tangga, Fakuti Teknikal dan Vokasional.

 Peserta melakukan proses menjahit pakaian
Peserta melakukan proses menjahit pakaian
Peserta melakukan proses menjahit pakaian

“Program ini bukan sekadar bertujuan menyampaikan ilmu teknikal, malah memberi fokus kepada pemupukan keyakinan diri, semangat keusahawanan dan jati diri wanita setempat”.

“Kami mahu wanita-wanita di Pangkor bukan sahaja mahir menjahit, tetapi juga mampu menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan tetap, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan komuniti,” katanya.

Cik Senijulita menunjukkan demonstrasi menjahit
Cik Senijulita menunjukkan demonstrasi menjahit

Pelaksanaan Kursus Pembuatan Pakaian Wanita ini membuktikan komitmen UPSI dalam mendokong pembangunan komuniti secara holistik selaras dengan visi menjadikan universiti sebagai pemangkin transformasi sosial dan ekonomi masyarakat luar bandar.