Oleh : Dr. Siti Shuhaida Shukor dan Khoirun Nisya Ruslan

KUALA LUMPUR – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh komitmennya dalam usaha memperkasa kebolehpasaran graduan apabila menerima jemputan menghadiri Karnival Kerjaya Nasional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 yang berlangsung meriah di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 14 dan 15 Jun lalu.

Karnival anjuran KPT dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menghimpunkan lebih 100 majikan dari pelbagai sektor industri termasuk syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta platform penempatan pekerjaan terkenal, Talentbank.

Pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang dua hari penganjuran bagi menarik minat pengunjung, antaranya pameran kerjaya, ceramah kerjaya, klinik resume, mentor hot seat, sesi temu duga pantas (speed interview), temu duga olok-olok (mock interview) dan sesi meja bulat industri. Acara turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah serta pemberian baucar Touch ‘n Go RM10 kepada peserta terawal selepas setiap sesi ceramah kerjaya.

Bagi memudahkan kehadiran pelajar, EDGE dengan kerjasama Bahagian Pengangkutan UPSI telah menyediakan dua buah bas yang membawa seramai 53 mahasiswa UPSI pada kedua-dua hari karnival. Karnival yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu memberi ruang optimum kepada pelajar untuk menyertai aktiviti tanpa kekangan masa.

Majlis perasmian karnival turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Aneesee bin Ibrahim.

Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor berkata pihaknya berharap penganjuran karnival ini dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa/i tentang trend semasa industri dan memperkasa kemahiran insaniah pelajar bagi mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan sebenar. Beliau turut menyatakan harapan agar program seumpama ini diteruskan dengan lebih banyak penglibatan industri dan aktiviti yang relevan pada masa akan datang.