Oleh: Muhammad Haziq Naim
TANJUNG MALIM, 11 NOVEMBER 2025 – “Menjadi insan yang baik bermula dari hati yang hidup.” Itulah semangat yang dibawa oleh Nadi Insaniah Fasa 1 & Fasa 2, program kerohanian yang dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS), Sidang LUMINA 2025/2026 dengan tema “Usrah: Nilai Akhlak, Dakwah, Ihsan.
”Program ini diadakan di Bilik Rehat Blok A, Blok C dan Blok D, berjaya menarik penyertaan lebih daripada 60 penghuni kolej yang bersemangat untuk memperkukuh ukhuwah dan meningkatkan sahsiah diri melalui sesi usrah, tazkirah dan aktiviti interaktif.
Program Nadi Insaniah menampilkan kolaborasi bersama Al Mursyidin Club (AMC), dengan 6 ahli sebagai naqib dan naqibah yang membimbing sesi usrah, refleksi diri, dan perbincangan bermakna. Kehadiran Ketua Felo dan lebih 20 wakil MMKAHS menambah semangat peserta.
Peserta melalui aktiviti ta’aruf, ice-breaking, tazkirah “Nilai Ukhuwah dalam Kehidupan Kampus”, serta sesi usrah bertema “Menelusuri Akidah, Menyemai Ihsan”, yang memberi peluang berkongsi pengalaman, mempererat silaturahim, dan menenangkan jiwa.
Dr. Mardiana binti Ismail, Pengetua KAHS, memuji usaha pelajar dan AMC, menekankan pentingnya program ini untuk keseimbangan jiwa dan pengisian rohani.



Menurut Pengarah Program, Muhd Haziq, usrah di kolej membantu pelajar mengenal diri, memperkukuh hubungan dengan Allah, dan eratkan ukhuwah.
Sambutan hangat peserta menunjukkan program ini memberi ketenangan, kesedaran diri, dan ikatan persahabatan lebih erat.
Nadi Insaniah bukan sekadar usrah, tetapi ruang membina diri, memperkukuh ukhuwah, dan menanam nilai positif dalam kehidupan harian.
