Bergambar bersama murid-murid dan guru SMK Trolak serta ahli jawatankuasa,Bergambar bersama murid-murid dan guru SMK Trolak serta ahli jawatankuasa,

Oleh: Dr. Ijlal Mohd Diah, Dr. Nurihan Nasir, Mohammad Ezlan Dzaqwan Masiren, Nur Izzatul Najwa Baharudin.

Tanjong Malim, 12 November 2025 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) dan Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pemantapan Algebra @ SMK Trolak 2.0 yang bertempat di Bilik Kuliah 7 dan 8, Aras 3, Blok 3, FSM. Program ini melibatkan seramai 82 orang murid Tingkatan Dua dan Tiga dari SMK Trolak.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan awal dan memperkukuh penguasaan murid-murid SMK Trolak terhadap asas algebra melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan. Program ini juga sejajar dengan aspirasi Fakulti Sains Matematik (FSM) untuk menyumbang bakti kepada masyarakat menerusi usaha pendidikan seperti bimbingan akademik dan khidmat komuniti. Melalui pelaksanaan aktiviti hands-on, penyelesaian masalah dan persekitaran pembelajaran kolaboratif maka inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan minat, keyakinan dan kemahiran matematik murid secara lebih holistik.

Murid-murid berjaya menyelesaikan Tarsia Puzzle semasa Slot Matematik Kreatif
Tutor menerangkan cara menyelesaikan masalah dalam slot kedua
Murid-murid menjalankan aktiviti 100 Star secara berkumpulan bagi slot terakhir

Program ini telah melibatkan pensyarah dan mahasiswa/i dari PMMU yang berperanan sebagai mentor dan fasilitator bagi membimbing murid sepanjang aktiviti dijalankan. Penyertaan mereka ini bagi memastikan setiap aktiviti dilaksanakan dengan teratur, interaktif dan mencapai objektif program yang telah ditetapkan. Selain itu, penglibatan ini juga memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pedagogi mereka dalam situasi sebenar.

Slot pertama dimulakan dengan Slot Matematik Kreatif yang merangkumi aktiviti Tepuk Gandaan dan Tarsia Puzzle. Aktiviti ini dirancang untuk merangsang pemikiran murid melalui pendekatan permainan dan penyelesaian masalah. Secara tidak langsung, membantu murid-murid menguasai konsep asas algebra secara interaktif, menyeronokkan dan kolaboratif.

Slot kedua menumpukan kepada penguasaan algebra melalui Slot Bengkel Penyelesaian Masalah Algebra yang dikendalikan oleh tiga orang tutor dari kalangan mahasiswa UPSI. Murid-murid SMK Trolak didedahkan kepada konsep seperti ungkapan algebra, sebutan algebra, pemfaktoran dan persamaan algebra dengan penekanan kepada kaedah penyelesaian secara langkah demi langkah.

Slot terakhir iaitu Slot Matematik dalam Kehidupan mengetengahkan aktiviti 100 Star, iaitu murid perlu menyusun nilai kad sehingga mencapai jumlah 100 dan membentuk bintang. Aktiviti ini dirangka untuk mengaplikasikan konsep algebra dalam situasi harian yang lebih mencabar bagi mengasah kemahiran berfikir aras tinggi.

Para fasilitator membantu murid-murid dalam memberi tunjuk ajar
Kelihatan murid-murid yang cukup ceria dan bersemangat sepanjang program
Sesi penyampaian cenderahati daripada pihak SMK Trolak kepada Dekan FSM

Pendekatan menyeluruh yang diterapkan dalam ketiga-tiga slot ini telah memberikan impak kepada murid-murid SMK Trolak.

Selain meningkatkan penguasaan mereka terhadap konsep asas algebra, program ini turut berjaya mengasah kemahiran berfikir, memupuk kerjasama kumpulan dan memperkukuh keupayaan komunikasi murid sepanjang sesi berlangsung.

Program ini telah menerima maklum balas yang sangat baik daripada murid-murid dan guru SMK Trolak yang cukup berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan.

Diharapkan penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memacu kecemerlangan murid dalam bidang Matematik,” ujar Pengarah Program iaitu Mohammad Ezlan Dzaqwan Masiren.

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, Dekan Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dan diikuti dengan sesi penyampaian cenderahati.