YAB Dato’ Seri Dr. Diraja Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kiri), menyampaikan sijil dan plak sempena Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Perak kepada Helmi (empat dari kiri)

Bagan Datuk, Perak – 23 November 2025– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap agenda kelestarian apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah IPT Lestari dalam Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Kompleks UMNO, Bagan Datuk.

Majlis rasmi yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Diraja Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dengan kehadiran barisan kepimpinan negeri termasuk YB Exco Teh Kok Lim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta wakil-wakil agensi kerajaan, badan korporat dan komuniti setempat.

Helmi (dua dari kiri) dan Nor Kalsum (tiga dari kiri) bergambar bersama pengiring UPSI.

UPSI diwakili oleh Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa yang hadir menerima anugerah tersebut bagi pihak universiti sebagai pengiktirafan terhadap usaha strategik UPSI dalam menerapkan pendidikan alam sekitar, program kesedaran masyarakat, penglibatan komuniti, serta inisiatif kampus hijau selaras dengan nilai “Malaysia Madani” dan seruan “Berkhidmat untuk Negara”.

Menurut Nor Kalsum, penganugerahan ini membuktikan bahawa pendidikan dan kelestarian tidak boleh dipisahkan dalam pembinaan generasi masa depan.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan kepada UPSI, tetapi juga pengiktirafan kepada seluruh warga akademia, penyelidik, mahasiswa dan komuniti yang terlibat dalam menjayakan agenda kelestarian melalui pendekatan pendidikan, penyelidikan, perundingan dan advokasi masyarakat. UPSI komited menjadi peneraju dalam membentuk kesedaran alam sekitar yang berasaskan ilmu, nilai dan tindakan,” katanya selepas majlis penyampaian plak penghargaan dan sesi bergambar rasmi.

Majlis sambutan ini turut merangkumi pelbagai acara termasuk persembahan lagu kebangsaan dan negeri,  tayangan montaj dan pameran.

Penganugerahan Anugerah Lestari turut diberikan kepada beberapa entiti lain termasuk komuniti setempat, organisasi korporat dan rakan media, sebagai tanda penghargaan atas peranan mereka dalam menangani isu e-sisa, pengurusan plastik berasaskan prinsip 5R, serta memupuk kesedaran kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

Sejajar dengan aspirasi universiti, UPSI dijangka meneruskan kerjasama strategik dengan pihak kerajaan negeri, komuniti dan industri dalam merangka program kelestarian, inovasi sosial dan pendidikan awam sejajar dengan peranan nasionalnya sebagai universiti pendidikan terunggul negara.