Peserta Futsal yang turut menghadiri sesi perkongsian mengenai “Trend Terkini Jenayah Komersil”Peserta Futsal yang turut menghadiri sesi perkongsian mengenai “Trend Terkini Jenayah Komersil”

Oleh: Clarissa John

Sungkai, Perak — 13 Disember 2025, Kempen Bijak Digital yang telah dianjurkan oleh pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya di Gelanggang Futsal FELCRA Cangkat Sulaiman, Sungkai, Perak.

Program ini bertujuan meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan masyarakat setempat selaras dengan perkembangan pesat era teknologi masa kini.

Sebagai salah satu usaha memperkukuh kesedaran digital di kawasan luar bandar, kempen ini memberi fokus kepada pendidikan berkaitan keselamatan siber, etika penggunaan media digital, serta keupayaan pengguna menilai maklumat secara kritis.

Melalui pendekatan yang interaktif dan inklusif, program ini memberi peluang kepada penduduk Sungkai untuk memahami kepentingan navigasi digital yang selamat dan bertanggungjawab.

“Pelaksanaan Kempen Bijak Digital ini merupakan usaha kami sebagai pelajar komunikasi untuk mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab dan keselamatan dalam dunia digital. Pada masa yang sama, melalui program E-Goal, kami berhasrat mengurangkan ketergantungan kepada gajet dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti fizikal yang sihat dan bermanfaat.” Corina Stephen (Pengarah Program E-Goal).

Bagi menarik penyertaan masyarakat, para pelajar telah menganjurkan Program E-Goal, iaitu pertandingan futsal komuniti yang diwujudkan bagi mengurangkan ketagihan gajet dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan gaya hidup yang lebih aktif dan sihat.

Inisiatif ini mendapat sambutan positif daripada penduduk tempatan, sekali gus membuktikan bahawa aktiviti luar seperti sukan mampu menjadi medium efektif dalam usaha membendung penggunaan gajet secara berlebihan.

Pasukan pertama yang bertanding bagi program E-Goal.
Sesi perkongsian ilmu dari Insp. Mohd Khairi bin Ismail, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

“Melalui program E-Goal ini, bukan sahaja kami dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga muda dan warga tua di kawasan FELCRA Changkat Sulaiman, kami juga dapat menerima ilmu baru tentang literasi digital ini.

“Seperti yang kita tahu, kawasan kami ini boleh dikatakan sebagai kawasan pendalaman, jadi pengisian di dalam ceramah mengenai trend terkini jenayah komersial mampu membuka mata kami tentang pentingnya literasi digital ini” Ahmad Faizal Bin Jamaludin (Pengurus Kawasan FELCRA Changkat Sulaiman).

Kempen ini turut diserikan dengan sesi penerangan khas mengenai “Trend Terkini Jenayah Komersil” yang disampaikan oleh Insp. Mohd Khairi bin Ismail, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan pelbagai bentuk ancaman penipuan dalam talian yang semakin berkembang serta menekankan kepentingan masyarakat meningkatkan kewaspadaan ketika menjalankan aktiviti digital seperti transaksi kewangan, komunikasi dan penggunaan media sosial.

Penganjur menegaskan bahawa peningkatan literasi digital merupakan satu keperluan mendesak dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.

Oleh itu, program seumpama ini diyakini dapat memberikan pendedahan awal kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar agar mereka lebih bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi risiko digital.