Oleh: Nur Aisya Khatira Mohammad Khairul Bariah
Tanjong Malim — Program “The Power of Affiliates: From Clicks to Income” yang dianjurkan oleh Persatuan Komunikasi (PERKOM) membuka ruang baharu kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menerokai potensi keusahawanan digital, sekali gus memperkukuh keupayaan mereka menjana pendapatan melalui platform dalam talian.
Program berimpak sederhana ini dirancang bagi merapatkan jurang pengetahuan antara pelajar Komunikasi Sosial dan pelajar UPSI secara keseluruhan mengenai strategi menjana pendapatan melalui platform media sosial, khususnya TikTok Affiliate, serta platform digital lain yang semakin berkembang dalam ekonomi kreator masa kini.
Selain memberi pendedahan tentang teknik dan strategi mendapatkan pendapatan sampingan, program ini turut menekankan kepentingan membina jenama peribadi yang kukuh sebagai persediaan menghadapi dunia kerjaya yang semakin kompetitif. Para pelajar diberi gambaran jelas mengenai bagaimana identiti digital dan kredibiliti dalam talian memainkan peranan besar dalam membina masa depan profesional mereka.
Penganjuran program ini juga membuka peluang kepada ahli jawatankuasa PERKOM untuk mengasah kemahiran komunikasi, pengurusan acara dan kepimpinan dalam konteks penganjuran aktiviti digital. Melalui pelaksanaan program secara atas talian, termasuk hebahan melalui Instagram rasmi PERKOM serta kumpulan WhatsApp rasmi, pelajar terlibat secara langsung dalam proses promosi, penyelarasan dan penyampaian maklumat kepada komuniti pelajar.
Menurut penganjur, program ini bukan sahaja membantu pelajar memahami selok-belok pendapatan digital, malah turut menambah pengalaman profesional yang amat bernilai kepada ahli jawatankuasa. Penglibatan aktif mereka dalam merancang dan melaksanakan program berimpak ini menjadikan The Power of Affiliates sebagai platform latihan kepimpinan dan organisasi yang penting.


Penganjuran program ini sekali lagi mengukuhkan reputasi PERKOM sebagai persatuan yang proaktif dalam menyokong pembangunan pelajar, bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga dalam memperkasa kemahiran keusahawanan digital dan kokurikulum.
Melalui inisiatif ini, PERKOM terus komited membimbing pelajar menuju masa depan yang lebih kompetitif, berdaya saing dan bersedia menghadapi landskap kerjaya era digital.
Program Affiliate Marketing ini dianjurkan bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peluang menjana pendapatan secara digital.
Seramai 56 orang pelajar telah menyertai program ini,bagi mencerminkan minat yang tinggi terhadap bidang pemasaran digital serta kesedaran tentang kepentingan kemahiran baharu dalam menghadapi cabaran era moden.
Penyertaan yang memberangsangkan ini turut mengukuhkan komitmen penganjur dalam menyediakan platform pembelajaran yang bermanfaat kepada pelajar.
Program ini juga telah menandakan minat dan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan kemahiran digital, khususnya dalam bidang affiliate marketing. Kehadiran pelajar yang ramai ini juga membuktikan bahawa program yang dilaksanakan relevan dengan keperluan semasa dan selaras dengan usaha memperkasakan pelajar dalam menghadapi landskap kerjaya era digital yang semakin kompetitif.
Sesi pengisian program telah disampaikan oleh dua penceramah berpengalaman, iaitu Cik Shafiqah Adriana binti Kamaruzzaman dan Puan Azlina binti Din.
Kedua-dua penceramah telah berkongsi ilmu mengenai asas affiliate marketing, cara menggunakan link affiliate dengan betul, serta strategi menghasilkan kandungan dan promosi yang berkesan. Melalui sesi bimbingan ini, para peserta turut berjaya meningkatkan keyakinan diri untuk memulakan langkah pertama dalam menjana pendapatan secara dalam talian.

Secara keseluruhan, program ini memberikan impak yang sangat positif kepada pelajar. Peserta bukan sahaja memahami konsep affiliate marketing, malah mampu menghasilkan link affiliate dan memulakan promosi sendiri. Mereka juga mempelajari cara menukarkan klik kepada komisen, merancang strategi pemasaran mengikut idea masing-masing, serta mengenal pasti platform yang paling berkesan untuk menjana trafik. Pada akhir program, setiap peserta mempunyai asas perancangan yang kukuh untuk menjana pendapatan secara konsisten melalui kaedah digital.
