Tapak Projek Wakaf (I-Furqan)

TANJONG MALIM, 22 Disember 2025 – Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan sokongan padu pihak pengurusan universiti, terus komited memastikan kelangsungan serta kejayaan Projek Wakaf Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (I-Furqan) yang kini berada dalam fasa pembangunan.

Berdasarkan Laporan Kemajuan Projek sehingga 5 Disember 2025, projek berkenaan mencatat kemajuan fizikal sebanyak 34.25 peratus dan mendahului jadual pelaksanaan asal selama 31 hari, melibatkan kerja-kerja pembinaan struktur utama bangunan. Pemantauan berterusan dilaksanakan menerusi lawatan tapak oleh pihak pengurusan, perunding dan kontraktor bagi memastikan pematuhan terhadap spesifikasi teknikal, piawaian keselamatan serta kualiti kerja yang ditetapkan. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027.

Projek Wakaf Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (I-Furqan) disifatkan sebagai manifestasi nyata komitmen UPSI dan para penyumbang wakaf dalam memperkasa pendidikan berteraskan al-Quran dan Turath secara mampan. Setiap sumbangan wakaf bukan sahaja menyokong pembangunan fizikal institusi, malah membina legasi ilmu yang berkekalan serta memberi manfaat berpanjangan kepada generasi pelajar dan ummah.

Pemilihan tiles bagi Projek Wakaf Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (I-Furqan)

WEZAS turut menegaskan komitmen untuk memastikan projek ini disempurnakan mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan agar setiap sumbangan wakaf menjadi saham akhirat yang berterusan. Sehubungan itu, warga UPSI dan masyarakat umum dialu-alukan untuk terus menyokong pelaksanaan projek ini melalui sumbangan wakaf ke Tabung Dana Wakaf UPSI menerusi kemudahan pembayaran tanpa tunai yang disediakan.

WEZAS UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang serta pihak yang menyokong usaha murni ini, dengan harapan projek wakaf berkenaan dapat disempurnakan dengan jayanya dan menjadi saham akhirat yang berterusan buat para penyumbang.