Perpustakaan Tuanku BainunPerpustakaan Tuanku Bainun

oleh: Dr. Nurzaimah Asalal

Tanjong Malim, 17 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam memperkukuh agenda kelestarian kampus melalui penganjuran program Recycle and Low Carbon @UPSI Challenge 2026 yang memberi tumpuan kepada pengumpulan bahan kitar semula di seluruh Pusat Tanggungjawab melibatkan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJ) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Program yang berlangsung pada empat tarikh berasingan iaitu pada 8, 10, 15 dan 17 April 2026 ini melibatkan penyertaan aktif sukarelawan Team Kesukarelawanan V-FSK4U.

Sepanjang tempoh pelaksanaan, para sukarelawan telah bergerak secara berkumpulan bagi mengumpulkan pelbagai jenis bahan kitar semula seperti kertas, plastik dan tin aluminium daripada pelbagai pusat tanggungjawab dan lokasi strategik di dalam kampus.

Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan amalan kitar semula serta mengurangkan jejak karbon melalui pengurusan sisa yang lebih sistematik dan berhemah.

Selain itu, program ini juga bertujuan memupuk nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar serta menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kelestarian alam sekitar.

Bahagian Sumber Manusia
Bahagian Akademik (Kompleks Akademik)

Menurut wakil daripada Pusat Tanggungjawab yang ditemu bual, program seumpama ini amat relevan dalam menangani isu peningkatan jumlah sisa pepejal di kawasan kampus yang berpunca daripada penggunaan bahan sekali guna serta kurangnya amalan pengasingan sisa di peringkat awal.

“Antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah sikap segelintir warga kampus yang masih kurang peka terhadap kepentingan kitar semula dan amalan rendah karbon. Justeru, program ini dilihat sebagai satu inisiatif berkesan dalam mendidik dan membudayakan amalan tersebut secara berterusan,” katanya.

Tambah beliau lagi, pengumpulan bahan kitar semula ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban pengurusan sisa universiti, malah turut menyumbang kepada usaha global dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim.

Sementara itu, salah seorang sukarelawan pelajar, Chong Yoke Ming, juga selaku Timbalan Wakil Pelajar Team V-FSK4U menyifatkan penglibatannya dalam program ini sebagai satu pengalaman yang bermakna dan membuka perspektif baharu tentang kepentingan penjagaan alam sekitar.

“Melalui program ini, saya lebih memahami kesan penggunaan harian kita terhadap alam sekitar. Ia memberi kesedaran bahawa setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian bumi,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar lebih ramai pelajar akan menyertai program seumpama ini pada masa akan datang agar usaha memupuk budaya kampus hijau dapat diperluaskan dan diperkukuhkan.

Secara keseluruhannya, program Recycle and Low Carbon @UPSI Challenge 2026 dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran serta penglibatan warga kampus terhadap amalan kitar semula dan gaya hidup rendah karbon.

Pihak penganjur berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan secara berkala dan menjadi pemangkin kepada transformasi UPSI sebagai kampus lestari yang unggul.