Oleh : Dr Anis Nazihah Mat Daud, Ts. Dr. Afiq Radzwan, Encik Mohd Faisal Mohd Yassin, Nurleesya Afiqah Mohmad Kamar, Nur Ain Nathrah Abdul Kadir

Tanjong Malim, 13 Mac 3026 – Kelab Rakan Astronomi Sidang AstroNexus 2025/2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berjaya menganjurkan Program Ceramah Ramadan bertajuk “Ramadan di Sebalik Langit” yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet.

Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada para peserta tentang hubungan antara ilmu astronomi dan pelaksanaan ibadah dalam bulan Ramadan.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh moderator program, Muhammad Isyraf Firdaus bin Hassim yang turut memperkenalkan penganjur serta rakan kolaborasi yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Antara organisasi yang bekerjasama dalam penganjuran program ini ialah Kelab Sahabat Ulul Albab (KESUA) UPSI, Al-Mursyidin Club (AMC) UPSI, Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kelab Astronomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta SMART.

Program kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Saudara Muhammad ‘Ammar bin Hanafi, Exco Kerohanian Kelab Rakan Astronomi Sidang AstroNexus 2025/2026 bagi memohon keberkatan sepanjang majlis berlangsung.

Seterusnya, majlis diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Saudari Nur Ain Nathrah binti Abdul Kadir yang juga merupakan Exco Kerohanian Kelab Rakan Astronomi.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut serta berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta yang hadir.

Majlis seterusnya diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Dr. Mohd Ikhwan Hadi bin Yaacob, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Sains dan Matematik UPSI.

Beliau turut merasmikan Program Ceramah Ramadan “Ramadan di Sebalik Langit” dan menyatakan sokongan terhadap penganjuran program ilmiah yang menggabungkan elemen sains dan kerohanian dalam kalangan mahasiswa.

Selepas sesi perasmian, para peserta dan penganjur turut mengambil bahagian dalam sesi fotografi secara dalam talian sebagai kenang-kenangan program.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Ah-Luqman Al Hakim bin Che Zahari yang merupakan pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI serta mantan guru di MRSM Bagan Datuk dan MRSM Arau.

Dalam sesi ceramah tersebut, beliau berkongsi mengenai kepentingan ilmu falak dan astronomi dalam penentuan ibadah umat Islam khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah konsep rukyah dan hisab, fenomena hilal serta peranan peredaran bulan dan matahari dalam menentukan awal Ramadan, waktu solat dan arah kiblat.

Perkongsian ini secara tidak langsung memberi kefahaman kepada para peserta bahawa ilmu sains dan agama saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.

Program diteruskan dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada para peserta untuk mengemukakan soalan kepada penceramah berkaitan topik yang dibincangkan.

Sesi ini berlangsung dengan aktif apabila peserta mengambil kesempatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai fenomena astronomi yang berkait dengan ibadah umat Islam.

Program berjaya mendapat penyertaan berdaftar sebanyak 1408 peserta serta tontonan semasa tertinggi sebanyak 673+.

Program ini juga telah diiktiraf sebagai program peringkat kebangsaan. Program diakhiri dengan sesi fotografi terakhir serta penyampaian ucapan penutup oleh pihak moderator.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penceramah jemputan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Para peserta juga digalakkan untuk mengikuti media sosial rasmi Kelab Rakan Astronomi UPSI bagi mendapatkan maklumat mengenai program-program akan datang.

Secara keseluruhannya, Program Ceramah Ramadan “Ramadan di Sebalik Langit” berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan pendedahan ilmu kepada para peserta serta memupuk kefahaman tentang hubungan antara astronomi dan ibadah dalam Islam.

Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkasa lagi budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat umum.