Peserta Hari Bahasa Cina bersama para jemputan dan VIP.Peserta Hari Bahasa Cina bersama para jemputan dan VIP.

Oleh Adila Munshi dan Ng Jing Han

TANJONG MALIM, 22 April 2026 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah sebagai institusi yang mempromosikan kepelbagaian budaya apabila julung kali menjadi tuan rumah program Hari Bahasa Cina anjuran Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Program yang dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ini berlangsung di Dewan SITC dan berjaya menarik penyertaan pelajar serta masyarakat awam dari dalam dan luar negara.

Penganjuran program ini bertujuan menggalakkan interaksi antara kaum, memupuk semangat perpaduan serta meningkatkan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat. Selain itu, program ini turut menjadi platform penting dalam membina jaringan kerjasama strategik antara UPSI dan pelbagai institusi di peringkat antarabangsa.

Pengarah International and Mobility Centre UPSI, Profesor Dr. Ramlee bin Ismail berkata, bahasa bukan sekadar ilmu, malah merupakan alat penting dalam membina kefahaman serta membuka peluang di peringkat global.

“Kerjasama dengan Kedutaan China serta pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadikan program ini satu pencapaian penting dalam usaha mempromosikan bahasa dan budaya Cina di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Kaunselor Pendidikan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Zhao Changtao menyatakan bahawa program ini merupakan antara usaha signifikan dalam memperkukuh hubungan antara budaya melalui bahasa.

“Bahasa Cina berperanan sebagai jambatan antara budaya dan mampu menggalakkan pelajar untuk memperluaskan perspektif global serta meningkatkan kefahaman antara masyarakat antarabangsa,” ujarnya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan Cina seperti pemakaian pakaian tradisional Hanfu, seni kaligrafi, persembahan alat muzik tradisional serta aktiviti membuat ‘tanghulu’.

: Ucapan oleh Zhao Changtao, Kaunselor Pendidikan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia.
Sesi forum yang dikendalikan bersama panel jemputan.
Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan kaligrafi.

Selain itu, beberapa sesi forum turut dianjurkan bagi memberikan pendedahan lebih mendalam kepada peserta. Antara forum yang dijalankan termasuk “Pengalaman Kaum Lain Mempelajari Bahasa Cina” yang menampilkan Puan Rasyidah dari RTM, serta perkongsian oleh Puan Afiqah Sabariah binti Khalidar, pensyarah bahasa Cina UPSI. Turut diadakan forum bertajuk “Pengalaman Budaya Cina Paling Interaktif di Kampus” yang dibentangkan oleh Saudari Fatimah binti Abdul Aziz Subra.

Program ini dilihat sebagai satu wadah penting dalam menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kebudayaan, sekali gus memperkukuh interaksi antara kaum serta meningkatkan penghargaan terhadap warisan budaya Cina.

Penganjuran Hari Bahasa Cina ini turut mencerminkan komitmen UPSI dalam melahirkan masyarakat yang lebih inklusif, bertoleransi serta berfikiran global selaras dengan aspirasi pendidikan negara.