Oleh: Nurin Binti Jaaffar
TANJONG MALIM, 16 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus cemerlang dalam usahanya melahirkan mahasiswa kelas pertama apabila Program Pencegahan Dadah Siri 1: “Dream Big. Live Clean.” telah melabuhkan tirainya dengan jayanya.
Program separuh hari yang berlangsung secara atas talian menerusi platform Google Meet dan Facebook Live Pusat Kaunseling ini dianjurkan oleh Kelab PEMADAM UPSI Sesi 2025/2026 bersama Pusat Kaunseling UPSI.
Ia turut mendapat dokongan strategik daripada Young Counseling Scholar, PEMADAM Kebangsaan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia, dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).


Sepanjang program berlangsung, para peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI dan orang awam telah didedahkan dengan realiti sebenar ancaman dadah masa kini menerusi tiga slot perkongsian berimpak tinggi.
Sesi bermula seawal jam 9.00 pagi dengan slot “Hidup Penuh Erti” yang disampaikan oleh Encik Sharizan bin Samad, Pengarah Pusat Kaunseling, Kerjaya dan Alumni, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia selaku wakil PEMADAM Kebangsaan.
Sesi kemudiannya dihangatkan lagi dengan pendedahan eksklusif mengenai evolusi dadah sintetik menerusi tajuk “Trend atau Perangkap? Realiti Dadah Generasi Hari Ini” oleh ASP Asfanizairil Shahfry bin Zainoldin dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia dan diakhiri dengan perkongsian penuh inspirasi bertajuk “Bangkit Dari Dadah: Dari Gelap ke Cahaya” oleh Puan Puteri Adni bt Noor Mohammad dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Perak.
Kemuncak acara penutupan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Abdul Halim bin Mohd Hussin, Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International).
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa mahasiswa adalah ‘intellectual capital‘ (modal insan berintelek) negara dan memegang kedaulatan diri yang tidak sepatutnya dileburkan oleh najis dadah. Beliau turut menyeru mahasiswa menjadikan standard kehidupan bersih atau “Live Clean” sebagai gaya hidup kelas pertama.
Terdahulu, Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee dalam ucapan aluannya menyatakan rasa bangga atas kesungguhan jawatankuasa pelaksana di bawah pimpinan Pengarah Program, Saudara Mohamad Iman Hakim bin Asbandi.
Beliau turut menekankan bahawa untuk berani bermimpi besar (Dream Big), aset paling mahal bagi seorang bakal pendidik dan pemimpin adalah ‘minda yang bersih’. Beliau juga menyeru agar mahasiswa sentiasa menjadikan Pusat Kaunseling sebagai rakan strategik dan zon selamat (safe space) dalam menangani tekanan emosi dan akademik di kampus.


Pelaksanaan Program Pencegahan Dadah Siri 1 ini secara keseluruhannya telah berjaya mencapai objektifnya untuk meningkatkan kesedaran awal, membina benteng psikologi yang kebal, serta menyemarakkan budaya menolak normalisasi bahan terlarang seperti vape mahupun dadah sintetik dalam kalangan generasi muda.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh jawatankuasa penganjur dan para peserta. Bermimpilah setinggi angkasa, namun pastikan langkah sentiasa bersih—Dream Big. Live Clean.

