oleh: Nur Alya Balqis Halmi
Seramai 30 orang pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai program kerjaya UM Job Fest 2026 yang berlangsung pada 14 Mei 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Program berskala nasional ini menghimpunkan lebih daripada 200 majikan daripada pelbagai industri seperti kewangan, teknologi, pembinaan, farmaseutikal dan logistik. Program ini turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records bagi kategori “Largest Employer Participation in a University Career Fair”.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya, keperluan industri serta kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan. Sepanjang program berlangsung, pelajar berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Career Exhibition Booths, Mentor Hot Seat, Walk-in Interviews dan Career Talks by Industry Leaders.



Sepanjang program berlangsung, para pelajar berpeluang menghadiri beberapa Career Talk Sessions yang menampilkan tokoh industri dan profesional berpengalaman.
Sesi perkongsian pertama telah disampaikan oleh Faizal Othman, wakil daripada SBM Offshore yang memegang jawatan sebagai Supply Chain Manager bagi Malaysia dan Singapura.
Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi pengalaman kerjaya dalam industri serta memberi gambaran mengenai cabaran dan peluang dalam sektor rantaian bekalan.
Seterusnya, sesi kedua bertajuk “How to Stand Out in Your First 100 Days at Work” telah disampaikan oleh Shawn Yip, Naib Presiden di TalentLabs.
Beliau menekankan kepentingan sikap proaktif, kemahiran komunikasi serta kebolehan menyesuaikan diri dalam tempoh awal memulakan kerjaya bagi memastikan graduan mampu menonjol di tempat kerja.


Program diteruskan dengan sesi perkongsian terakhir bertajuk “Don’t Just Graduate – Get Hired” yang disampaikan oleh Varina Karmillah Mohd Ali Soosai, pengasas JumpStart Hub.
Dalam sesi ini, beliau memberi motivasi kepada para pelajar supaya lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan dengan membina rangkaian profesional, meningkatkan kemahiran diri serta memahami kehendak industri.


Penyertaan pelajar UPSI dalam program ini memberi peluang kepada mereka untuk menimba ilmu secara langsung daripada pakar industri, selain memperluas jaringan kerjaya dengan pelbagai organisasi yang terlibat.
Diharapkan pengalaman ini dapat membantu para pelajar membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan selepas tamat pengajian.
