Oleh: Nur Damia Farisha dan Norrulkamari Daud

Tanjong Malim, 20 Mei 2026 – Program Satu Rentak 2.0 telah berjaya dilaksanakan bertempat di Dewan Kuliah Pusat, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini dianjurkan oleh Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK), UPSI dengan melibatkan pensyarah serta pelajar DPAKK semester tiga dan semester enam.

Penganjuran Program Satu Rentak 2.0 merupakan satu inisiatif untuk membina dan mengeratkan hubungan silaturahim antara pensyarah dan pelajar. Program ini menyediakan ruang interaksi yang lebih dekat dalam suasana santai di luar persekitaran pembelajaran formal, sekali gus mewujudkan hubungan yang harmoni dan saling memahami dalam kalangan warga DPAKK. Di samping itu, program ini juga turut berperanan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan dua hala antara pensyarah dan pelajar melalui aktiviti yang dilaksanakan secara bersama. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan komunikasi yang lebih berkesan, malah membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih positif dan kondusif pada masa akan datang.

Program bermula dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan ALumni (TDHEPA), FPM iaitu Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan. Ucapan beliau menekankan pembangunan sahsiah pelajar dalam program sebegini yang bermanfaat selain fokus dalam aktiviti akademik. Walaubagaimanapun,  pelajar diberi galakan yang bersemangat agar terus aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang menjadi mahasiswa/i UPSI, tambahan masa pengajian diploma adalah terlalu singkat iaitu, jadi peluang dan ruang perlu diisi oleh pelajar dengan sebaiknya.

Seterusnya, aktiviti ice breaking dan senamrobik dijalankan sebelum bermulanya pelbagai aktiviti sukaneka dilaksanakan. Melalui aktiviti ice breaking, pensyarah dapat mengenali pelajar dengan lebih dekat lagi, begitu juga dengan pelajar.

Setelah itu, aktiviti sukaneka diteruskan sebelum matahari terbit lebih memancar. Antara aktiviti sukaneka yang dilaksanakan secara bersama antara lapan kumpulan seperti permainan bawa bola pingpong dalam sudu, lari dalam guni, lari ikat kaki, bowling kelapa, ikatan kain batik dan beberapa lagi permainan yang dilaksanakan secara indoor. Dengan penuh semangat mampu mewujudkan suasana yang riuh, meriah, ceria, dan santai antara kalangan pelajar dan pensyarah.

Setiap aktiviti memerlukan kerjasama, fokus dan komunikasi yang baik antara peserta bagi memastikan cabaran dapat diselesaikan dengan jayanya. Sorakan dan sokongan daripada para peserta turut menambahkan kemeriahan program serta menaikkan semangat setiap kumpulan yang bertanding. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya memupuk nilai toleransi, semangat berpasukan dan hubungan yang lebih akrab dalam kalangan pensyarah dan pelajar DPAKK.

Sebelum majlis penutup, satu slot khas telah diadakan bersama Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr. Seah Siok Peh. Dalam slot tersebut, beliau telah menyampaikan perkongsian berkaitan kurikulum sains dan matematik yang menekankan aspek persiapan yang perlu dimiliki oleh seorang pelajar sebagai bakal pendidik. Beliau turut memberi penjelasan yang jelas dan terperinci mengenai peranan guru dalam memastikan kefahaman asas kanak-kanak terhadap kedua-dua bidang tersebut dapat dibentuk sejak peringkat awal lagi.

Penyampaian tersebut telah memberikan pendedahan dan motivasi kepada para pelajar tentang kepentingan ilmu, kemahiran serta sikap profesionalisme dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Selain itu, slot ini juga berjaya membuka minda pelajar mengenai tanggungjawab seorang pendidik yang bukan sahaja mengajar, malah membimbing dan membentuk sahsiah kanak-kanak secara holistik. Secara keseluruhannya, perkongsian tersebut memberi impak yang sangat bermakna kepada para peserta sebelum program diteruskan lagi dengan majlis penutup.

Majlis penutup yang diadakan pada penghujung program diselitkan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi aktiviti sukaneka dan cabutan bertuah kepada peserta. Majlis ini menjadi detik kemuncak yang dinanti-nantikan oleh para peserta setelah melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung. Penyampaian hadiah telah disempurnakan dengan penuh meriah sebagai tanda penghargaan kepada para pemenang yang telah menunjukkan semangat dan kerjasama yang tinggi dalam setiap acara yang dipertandingkan.

Suasana menjadi lebih meriah dengan sorakan serta sokongan padu yang diberikan oleh para peserta kepada rakan-rakan mereka yang menerima hadiah. Sorakan tersebut telah menambahkan lagi keceriaan majlis dan menggambarkan semangat kesukanan serta hubungan erat yang terjalin antara pensyarah dan pelajar. Seterusnya, sesi fotografi bersama semua peserta telah diadakan sebagai kenangan dan simbol penghargaan terhadap penglibatan semua pihak yang telah menjayakan Program Satu Rentak 2.0 dengan penuh kejayaan.

Aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja menceriakan suasana, malah berjaya memupuk semangat kerjasama, toleransi dan komunikasi dua hala dalam kalangan peserta. Sepanjang pelaksanaan aktiviti, para peserta menunjukkan penglibatan yang sangat aktif dan bersemangat dalam setiap cabaran yang diberikan. Penglibatan menyeluruh ini jelas mencerminkan komitmen bersama dalam menjayakan program, di samping memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Kehadiran serta penglibatan pensyarah turut memberikan impak positif kepada pelajar. Interaksi yang terjalin sepanjang program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah turut memperkukuh rasa saling menghormati serta semangat kekitaan dalam kalangan warga DPAKK UPSI. Selain itu, hubungan yang lebih mesra antara pensyarah dan pelajar turut membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih harmoni, terbuka dan kondusif pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, Program Satu Rentak 2.0 berjaya mencapai objektif yang disasarkan serta meninggalkan kenangan dan pengalaman yang amat bermakna kepada semua yang terlibat. Sepanjang pelaksanaan program, pelbagai aktiviti yang dijalankan telah memberi impak positif dalam mengeratkan hubungan antara pensyarah dan pelajar, di samping memupuk nilai kerjasama, toleransi dan semangat kekitaan dalam kalangan peserta. Program ini juga membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran di luar bilik kuliah mampu memberikan pengalaman yang lebih bermakna dan menyeluruh kepada pelajar.

Program ini turut menunjukkan bahawa hubungan yang baik antara pensyarah dan pelajar memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang seimbang, harmoni dan kondusif. Oleh itu, pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh silaturahim serta membina komuniti akademik yang lebih erat dan progresif dalam kalangan warga DPAKK UPSI.