Majlis Perasmian Career Fair 2026Majlis Perasmian Career Fair 2026

TANJONG MALIM, 9 Jun – Daripada dewan kuliah ke dunia korporat, itulah misi yang dibawa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Karnival Kerjaya: Kampus ke Kerjaya Bersama Industri 2026, apabila ratusan pelajar berhimpun untuk meneroka peluang pekerjaan, membina jaringan profesional dan memahami kehendak sebenar industri.

Program anjuran Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMi) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI dan Persatuan Psikologi UPSI itu menjadi platform yang menghubungkan pelajar dengan pelbagai pihak industri dalam usaha memperkasa kebolehpasaran graduan dan menyediakan mereka menghadapi alam pekerjaan sebenar.

Sepanjang program, pelajar berpeluang menyertai Pameran Kerjaya dan Industri yang menghimpunkan pelbagai organisasi dan syarikat bagi berkongsi peluang kerjaya, latihan industri serta perkembangan terkini dalam sektor pekerjaan.

Sesi Perbincangan Meja Bulat

Turut menjadi tumpuan ialah bengkel “Resume ke Industri: Langkah Pertama ke Kerjaya Impian” yang dikendalikan oleh wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Cik Najiha Nasution Binti Sulfan Syah. Bengkel tersebut memberi pendedahan tentang teknik menghasilkan resume yang berkesan serta strategi meningkatkan kebolehpasaran diri dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Selain itu, ceramah latihan industri yang disampaikan oleh Dr. Jusmawati Binti Fauzaman membantu pelajar memahami persediaan awal, cabaran dan realiti dunia pekerjaan sebelum melangkah ke alam latihan industri.

Ketika merasmikan program, Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan dan Keterjaminan Makanan, Puan Hizatul Haliza binti Hashim berkata program seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah membuka peluang kepada industri mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara.

Kemuncak program menyaksikan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) yang menghimpunkan 15 wakil industri bagi membincangkan pelaksanaan latihan industri, keperluan kemahiran graduan serta cadangan penambahbaikan kurikulum agar kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa.

Lebih daripada sekadar sebuah karnival kerjaya, program ini menjadi bukti bahawa usaha melahirkan graduan berkualiti tidak boleh digalas oleh institusi pendidikan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara universiti dan industri. Melalui inisiatif seperti ini, UPSI terus memperkukuh langkah dalam membentuk generasi graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu, malah bersedia mencipta nilai, memimpin perubahan dan mencorakkan masa depan negara.