Oleh: Mayveline anak Nakan & Ahmad Sauffiyan

TANJONG MALIM — Seramai 228 orang pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengikuti Program Kem Bina Insan Bitara (BIB) Sesi 4 yang berlangsung selama empat hari bermula 8 Jun hingga 11 Jun 2025 di UPSI Adventure Park (UAP).

Program yang berjaya diadakan ini menyaksikan penyertaan pelajar daripada tiga kursus utama iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Etnik, ISM Komunikasi Sosial serta ISM Bahasa Arab dengan Pendidikan. Kehadiran yang menggalakkan ini mencerminkan komitmen pelajar dalam mempertingkatkan kemahiran diri melalui aktiviti luar bilik darjah.

Majlis perasmian program turut disempurnakan oleh Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Dr. Mohd Amir bin Mohd Zahari, yang hadir bagi memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta. Sementara itu, satu slot istimewa bertajuk Oh My Faculty telah menjadi antara sesi yang paling dinantikan, dengan kehadiran terus Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura binti Muhammad. Menerusi slot tersebut, para pelajar berpeluang mendapatkan maklumat lebih dekat mengenai hala tuju fakulti serta berinteraksi secara langsung dengan pimpinan tertinggi fakulti.

Sepanjang empat hari program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dan mencabar telah dirancang bagi melatih para peserta dari sudut fizikal dan mental. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah cabaran halangan (obstacles) dan explorace yang menuntut peserta berfikir secara kritis serta bertindak pantas dalam suasana yang memerlukan kerjasama berpasukan yang erat.

Selain aktiviti fizikal, program ini turut memeriahkan suasana dengan pelaksanaan aktiviti Serlahkan Bakat yang menjadi antara slot paling meriah sepanjang kem berlangsung. Dalam aktiviti ini, para peserta telah dibahagikan kepada 15 kumpulan dan setiap kumpulan dikehendaki tampil dengan persembahan yang menggunakan dialek negeri yang berbeza-beza. Aktiviti ini bukan sahaja menjadi platform kepada para peserta untuk menonjolkan bakat dan kreativiti masing-masing, malah turut memperkaya kesedaran mereka terhadap kepelbagaian budaya dan bahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Suasana yang ceria dan penuh gelak tawa mengiringi setiap persembahan, menjadikan slot ini antara yang paling diingati oleh para peserta.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang kem ini direka khusus bagi mengasah kemahiran berfikir aras tinggi serta memupuk semangat kerjasama dan kepercayaan sesama ahli kumpulan. Melalui pengalaman yang dilalui bersama, para peserta turut berpeluang mempereratkan hubungan persahabatan dan mengenali rakan sepengajian mereka dengan lebih mendalam, merentasi perbezaan kursus dan latar belakang.

Kem BIB Sesi 4 ini sekali lagi membuktikan bahawa program berbentuk pembangunan diri dan jati diri memainkan peranan penting dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mantap dari segi sahsiah, kepimpinan dan semangat berpasukan. Pengalaman yang diperoleh sepanjang kem ini dijangka menjadi bekalan berharga kepada para peserta dalam menempuh alam pengajian dan kerjaya pada masa hadapan.