Oleh: IKHWAN ABDUL KASSIM
TANJONG MALIM, 13 Jun – Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif: Daripada Idea ke Inspirasi yang menyaksikan pembukaan peluang keemasan bagi mahasiswa untuk menerbitkan karya bahasa dan sastera mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 3, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI itu bermula seawal jam 8:00 pagi dan berjaya menarik penyertaan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa warga kampus. Lebih menarik, penganjuran bengkel ini menampilkan Profesor Madya Dr. Ariff bin Mohamad, Pensyarah Kanan daripada Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI sebagai penceramah jemputan khas. Sepanjang program, beliau membimbing para peserta secara komprehensif menerusi empat modul utama, iaitu puisi, cerpen, perbincangan karya, serta teknik penyuntingan dan penerbitan.

​Bengkel ini merupakan hasil jaringan kolaborasi strategik yang utuh antara PERBAYU UPSI bersama beberapa persatuan luar, iaitu Kelab Bahasa Melayu Profesional Universiti Malaya (UM) dan Kelab Pengajian Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Di peringkat dalaman pula, program ini turut digerakkan bersama Himpunan Anak Darul Ridzuan (HADARI) UPSI dan Persatuan Persuratan Melayu (PPM) UPSI. Sarapan pagi dan makan tengah hari juga disediakan, rata-rata peserta menyifatkan pengisian program ini sebagai sangat berbaloi dan eksklusif.

​Bagi menyuntik motivasi yang tinggi, pihak penganjur mengumumkan bahawa lima karya terbaik yang dihasilkan oleh para peserta sepanjang bengkel ini berlangsung akan dipilih untuk diterbitkan secara rasmi. Di samping itu, setiap peserta yang hadir turut menerima e-sijil yang mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan serta pemberian mata CHAMP bagi mahasiswa UPSI.

​”Inisiatif menawarkan slot penerbitan ini merupakan satu batu loncatan yang sangat besar bagi penulis muda dalam kampus serta membuktikan bahawa karya mahasiswa kita mempunyai nilai dan kualiti untuk diketengahkan,” jelas pengarah program.

Melalui kejayaan penganjuran bengkel seumpama ini, PERBAYU bersama rakan kolaborasi optimis bahawa program ini mampu menjadi wadah utama dalam melahirkan barisan penulis pelapis yang berkaliber, seterusnya memastikan kelangsungan kreativiti bahasa dan sastera Melayu terus subur dalam kalangan generasi baharu.