Jawatankuasa pelajar FBK UPSI menyambut ketibaan Profesor Emeritus Dr. Erik Knudsen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memulakan Program Lawatan Secara Bersemuka Profesor Adjung Erik Knudsen Di Fakulti Bahasa Dan Komunikasi 2026Jawatankuasa pelajar FBK UPSI menyambut ketibaan Profesor Emeritus Dr. Erik Knudsen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memulakan Program Lawatan Secara Bersemuka Profesor Adjung Erik Knudsen Di Fakulti Bahasa Dan Komunikasi 2026

oleh Dr. Siti Fariza Mohamad Isa, Wan Nur Adlin Fadhlina Wan Mohd Sabri dan Muhammad Faiz Hakim Sharudin

TANJONG MALIM, 19 Jun 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah menganjurkan Program Lawatan Secara Bersemuka Profesor Adjung Erik Knudsen Di Fakulti Bahasa Dan Komunikasi  2026 yang menampilkan Profesor Emeritus Dr. Erik Knudsen dari University of Lancashire, United Kingdom, seorang pengarah filem, penyelidik dan akademik bertaraf antarabangsa dan telah berada dalam industri kreatif di eropah dan Hollywood selama lebih 40 tahun.

Program yang berlangsung dari 15 hingga 19 Jun itu melibatkan siri syarahan, bengkel, klinik penyelidikan, lawatan industri dan penglibatan komuniti.

Antara pengisian utama program ialah syarahan bertajuk “Fear Eats the Soul: Transcending Barriers in Filmmaking” yang memberi pendedahan kepada pelajar dan pensyarah mengenai pembikinan filem, penceritaan kreatif dan penyelidikan berasaskan amalan.

Peserta dan penganjur bergambar selepas sesi penyampaian penghargaan sempena Syarahan Utama “Fear Eats the Soul: Transcending Barriers in Filmmaking” yang berlangsung di UPSI.
Profesor Emeritus Dr. Erik Knudsen bergambar bersama pelajar selepas sesi bengkel “Finding the Personal Voice: Creativity and Story” yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai pembikinan filem dan seni penceritaan visual.

Beliau turut berkongsi pengalaman lebih 30 tahun dalam industri kreatif antarabangsa serta kepentingan menghasilkan karya yang autentik dan berimpak. Program ini turut membawa Profesor Emeritus Dr. Erik Knudsen ke Kampung Menderang, Sungkai bagi menyaksikan potensi ekopelancongan dan keusahawanan komuniti yang dibangunkan melalui projek SULAM dibawah subjek BKS3213 Komunikasi Korporat Jabatan Komunikasi dan Media.

Lawatan tersebut melibatkan pameran produk usahawan tempatan, lawatan ke Kampung Orang Asli di Tisong, serta kunjungan ke ladang madu kelulut Kampung menderang dan BMS Campsite. Antara penampilan khas di program lawatan ini adalah YB Salina Samsudin, Ahli DUN Behrang yang telah bersama-sama mempromosikan Kampung Menderang ini kepada delegasi UPSI yang hadir.

Menurut pihak penganjur, lawatan berkenaan membuka peluang kepada komuniti Kampung Menderang untuk mempromosikan produk dan tarikan pelancongan mereka kepada khalayak yang lebih luas, di samping menerima pandangan daripada pakar industri kreatif antarabangsa mengenai strategi penceritaan dan penjenamaan destinasi.

 
Profesor Emeritus Dr. Erik Knudsen menerima sambutan daripada Timbalan Naib Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Raja Nor Safinas binti Raja dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau sepanjang Program Lawatan Secara Bersemuka Profesor Adjung Erik Knudsen Di Fakulti Bahasa Dan Komunikasi  2026
Profesor Emeritus Dr. Erik Knudsen bersama warga FBK UPSI dan komuniti Kampung Menderang, Sungkai bersama YB Salina binti Samsudin, Ahli DUN Behrang semasa lawatan ekopelancongan yang mengetengahkan keunikan budaya, produk tempatan dan hasil pertanian komuniti.
 

Selain itu, Profesor Emeritus Dr. Erik Knudsen turut mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pendidikan Tinggi serta muncul sebagai panel jemputan di Bernama TV bagi membincangkan topik “Generative AI: Friend or Foe to the Independent Filmmaker?”, sekali gus meningkatkan keterlihatan UPSI di peringkat nasional dan antarabangsa.

Secara keseluruhannya, Program Lawatan Secara Bersemuka Profesor Adjung Erik Knudsen Di Fakulti Bahasa Dan Komunikasi  2026 berjaya memperkukuhkan jaringan akademik antarabangsa UPSI, memperkasa pembangunan bakat kreatif dalam kalangan pelajar dan pensyarah, serta menyumbang kepada usaha mempromosikan Kampung Menderang sebagai destinasi ekopelancongan komuniti yang berpotensi untuk berkembang pada masa hadapan dan menjadi lokasi penggambaran antarabangsa.