Tanjong Malim – Projek Rintis Modul Integriti Profesional X-Factor (MIP-X) telah dilaksanakan pada 18 hingga 20 Jun 2026 hasil kerjasama antara Institut Integriti Malaysia (IIM), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program yang diselaraskan oleh En. Abd Rashid Bin Abd Hamid ini melibatkan seramai 52 orang, terdiri daripada 41 peserta daripada IIM dan Perak SADC serta 11 fasilitator daripada IIM dan UPSI.



FSSK UPSI memainkan peranan penting dalam mereka bentuk dan melaksanakan aktiviti pendidikan luar yang menjadi teras kepada modul ini. Program dikendalikan oleh lima staf akademik FSSK iaitu Dr. Omar Firdaus Mohd Said, Dr. Mohd Huzairi Mohd Sani, En. Mohamed Azizul Mohamed Afandi, En. Farizul Athir Mohd Ramli dan En. Abd Rashid Abd Hamid, dengan sokongan tiga pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta pegawai Institut Integriti Malaysia yang bertindak sebagai fasilitator program.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan, peserta mengikuti pelbagai aktiviti berasaskan pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) seperti outdoor team building, aktiviti berkayak, wall-climbing, qalbu kendiri dan Compass Navigation Explorace.



Aktiviti-aktiviti ini dirangka bagi memperkukuhkan nilai integriti, kepimpinan, kerjasama, komunikasi dan keupayaan membuat keputusan dalam situasi sebenar yang mencabar dan menghayati nilai integriti secara praktikal melalui pengalaman langsung.
Majlis penutupan program telah disempurnakan dengan kehadiran Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, PM Dr. Jaffry Bin Zakaria, bersama En. Harisham Bin Ibrahim, Ketua Pegawai Sektor Operasi Institut Integriti Malaysia, En. Fison Hamdi Bin Ahmad, Pengarah Pusat Pembangunan Integriti Insan dan Budaya Institut Integriti Malaysia, serta Puan Harnieza Binti Haji Ahmad, Ketua Unit Integriti dan Governans Perak SADC.


