Oleh: Danial Rosli dan Amiluddin Baharudin
TANJONG MALIM, 8 Julai – Era baharu kepimpinan mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) bermula secara rasmi apabila seramai 40 orang barisan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO) Sidang 2026/2027 menerima watikah pelantikan dalam Majlis Penyerahan Tugas dan Watikah Pelantikan MMK yang berlangsung di Dewan Kolej Za’ba, hari ini.
Majlis berkenaan bukan sekadar menyaksikan pertukaran tampuk kepimpinan mahasiswa, malah menjadi simbol kesinambungan legasi antara barisan kepimpinan terdahulu dengan generasi pemimpin baharu yang akan menerajui agenda pembangunan mahasiswa Kolej Ungku Omar bagi sesi 2026/2027.



Majlis telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Dr. Hj. Mohd Nizam Nasrifan, dan turut dihadiri Ketua Felo Kolej Ungku Omar yang baharu, Puan Siti Nor Huda, barisan felo, pegawai pentadbiran kolej, mantan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Rakan Exco serta warga kolej.
Kemuncak majlis menyaksikan penyerahan rasmi tampuk kepimpinan daripada Yang Dipertua MMK Sidang AURRA, Muhammad Ali Azizi bin Abdul Aziz, kepada Yang Dipertua MMK Sidang 2026/2027, Muhammad Hafiz Safffar, sebelum diteruskan dengan penyampaian watikah pelantikan kepada kesemua pemimpin mahasiswa yang akan menggalas amanah sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.



Sebagai tanda iltizam terhadap tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan, semua barisan kepimpinan baharu turut melafazkan bacaan ikrar dan aku janji bagi menzahirkan komitmen untuk berkhidmat secara profesional, berintegriti serta mengutamakan kepentingan mahasiswa dan kolej.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Nizam berkata, kepimpinan mahasiswa merupakan rakan strategik pihak pentadbiran dalam membentuk persekitaran kolej yang kondusif, progresif dan berdaya saing.
Beliau berharap barisan kepimpinan yang baharu dapat menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab serta sentiasa mengutamakan nilai kepimpinan berintegriti, semangat kerja berpasukan dan kebajikan warga kolej.


“Kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, tetapi tentang keupayaan membawa perubahan yang memberi manfaat kepada orang lain. Jadikan amanah ini sebagai ruang untuk belajar, berkhidmat dan meninggalkan impak yang positif kepada kolej serta universiti,” katanya.
Pada majlis yang sama, penghargaan turut diberikan kepada barisan MMK Sidang AURRA atas sumbangan dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Sepanjang menerajui kepimpinan kolej, Sidang AURRA yang membawa slogan ‘Pemangkin Legasi Mahasiswa’ telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam aspek kebajikan, pembangunan mahasiswa, kepimpinan, akademik dan penglibatan komuniti, sekali gus meneruskan tradisi kecemerlangan Kolej Ungku Omar.
Mengimbau perjalanan kepimpinannya, Muhammad Ali Azizi bin Abdul Aziz menyifatkan amanah yang dipikul sepanjang sidang AURRA sebagai pengalaman yang amat bermakna dalam membentuk jati diri seorang pemimpin.
“Tiada kejayaan yang dicapai secara bersendirian. Segala pencapaian sidang ini adalah hasil kesungguhan seluruh barisan MMK, Rakan Exco, pihak pentadbiran, felo dan warga kolej yang sentiasa berganding bahu. Saya berharap kepimpinan baharu akan terus membawa semangat kebersamaan ini dan berani mencipta pembaharuan yang memberi nilai tambah kepada mahasiswa,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MMK Sidang 2026/2027, Muhammad Hafiz Safffar, menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan.
Menurut beliau, kepimpinan baharu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan pihak pentadbiran, memperkasa agenda kebajikan serta melahirkan lebih banyak program yang bersifat inklusif, relevan dan memberi impak kepada pembangunan mahasiswa.
“Kami akan meneruskan segala usaha baik yang telah diasaskan oleh kepimpinan terdahulu, di samping memperkenalkan pendekatan yang lebih segar selaras dengan keperluan mahasiswa masa kini. Keutamaan kami ialah memastikan setiap mahasiswa merasai manfaat daripada setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh MMK,” katanya.


Turut diumumkan pada majlis berkenaan ialah penambahan portfolio Exco Hab Makanan Komuniti dan Kelestarian Siswa, menjadikan struktur organisasi MMK lebih komprehensif dalam memenuhi keperluan semasa warga kolej. Portfolio baharu ini dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh aspek kebajikan mahasiswa, keterjaminan makanan serta membudayakan amalan kelestarian dalam komuniti kolej.
Majlis diakhiri dengan sesi fotografi rasmi melibatkan barisan kepimpinan baharu bersama pihak pentadbiran, felo kolej dan mantan kepimpinan MMK sebagai simbol kesinambungan legasi kepimpinan mahasiswa. Dengan pelantikan barisan baharu ini, Kolej Ungku Omar diharap terus melahirkan pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dalam organisasi, malah berupaya menjadi agen perubahan yang menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat secara menyeluruh.

