Tanjong Malim, 10 Julai – Program Pendayaan Komuniti @UniMADANI: Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur yang dibiayai melalui dana Kementerian Kewangan Malaysia dan dilaksanakan oleh Fakulti Teknikal dan Vokasinal, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya memperkasa belia Muallim melalui pembangunan kemahiran penternakan ayam penelur bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta memperkukuh ekonomi keluarga dan komuniti.

Program yang berlangsung dalam tiga siri bermula September 2025 hingga 10 Julai 2026 itu disertai oleh 50 orang peserta daripada sekitar daerah Muallim. Sepanjang pelaksanaan program, peserta bukan sahaja didedahkan dengan pengetahuan teori, malah menerima latihan amali yang membolehkan mereka mengurus projek penternakan ayam penelur secara sistematik.

Tiga siri kursus yang dilaksanakan merangkumi Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur, Pembuatan Makanan Ternakan Secara DIY, serta Potensi Keusahawanan dalam Bidang Ternakan dan Social Enterprise. Kandungan latihan disusun secara berperingkat bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran lengkap daripada aspek pengurusan ternakan sehingga kepada pembangunan perniagaan berasaskan penternakan.

Sebagai sokongan kepada pelaksanaan projek di peringkat komuniti, setiap peserta telah menerima kit pemula yang mengandungi 10 ekor ayam penelur dewasa, bekalan makanan untuk tempoh dua bulan, serta sebuah sangkar yang dilengkapi dengan sistem minuman automatik dan bekas makanan yang sesuai.

Bagi memastikan projek yang dijalankan terus berkembang, pihak penganjur turut melaksanakan pemantauan secara berkala melalui perkongsian maklumat oleh peserta berkaitan hasil pengeluaran telur harian, berat dan gred telur, di samping mengenal pasti sebarang permasalahan yang dihadapi untuk tindakan susulan dan khidmat nasihat.

Majlis penutup program menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka sepanjang mengikuti program. Sijil tersebut diharap dapat dimanfaatkan oleh peserta yang berhasrat memohon geran atau bantuan berkaitan bagi mengembangkan lagi perusahaan pengeluaran telur yang telah dimulakan melalui program ini.

Sijil penyertaan telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Unit Perundingan, Pengkomersialan dan Inovasi), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Profesor Dr. Ahmad Jazimin bin Jusoh, Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Profesor Madya Dr. Mohd Azlan bin Mohammad Hussain, serta Ketua Projek, Ts. Dr. Fazhana binti Ismail.

Menurut Ketua Projek, Ts. Dr. Fazhana binti Ismail, usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat akan diteruskan secara lestari melalui pelbagai program susulan yang sedang dirancang bagi memperluaskan penyertaan komuniti dalam aktiviti keterjaminan makanan negara.

“Antara perancangan yang sedang disusun ialah penganjuran kursus lanjutan mengenai penghasilan makanan ternakan berasaskan Larva Lalat Askar Hitam (Black Soldier Fly Larvae) dan Azolla. Pendekatan ini mampu membantu penternak ayam penelur mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan komersial yang semakin meningkat harganya, sekali gus meningkatkan keuntungan perusahaan mereka,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta menyifatkan program tersebut sebagai inisiatif yang sangat bermanfaat kepada masyarakat.

“Usaha UPSI berkongsi ilmu dan kemahiran seperti ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia memberi manfaat yang besar kepada komuniti. Selain dapat menghasilkan telur untuk kegunaan sendiri, ia juga membantu mengurangkan kos perbelanjaan makanan isi rumah,” katanya.

Program Pendayaan Komuniti @UniMADANI ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih berdikari dalam penghasilan makanan, di samping menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran makanan yang selamat, berkualiti dan mampan.