Tanjong Malim – Dalam memperkukuh tadbir urus yang berintegriti dan berteraskan kedaulatan undang-undang, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Bahagian Perundangan telah menerbitkan Kanun Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kanun UPSI).
Penerbitan ini merupakan satu langkah penting dalam menyediakan himpunan undang-undang utama Universiti sebagai rujukan rasmi kepada pengurusan, pegawai dan seluruh warga UPSI, sekali gus menyokong pelaksanaan pentadbiran yang lebih sistematik, telus dan berakauntabiliti.
Kanun UPSI menghimpunkan lima instrumen perundangan utama Universiti, iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30], Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus), Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan), Perlembagaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Tatatertib Pelajar) 2024, serta 13 Statut-statut Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sebagai rujukan yang komprehensif dan terkini, Kanun UPSI ini memudahkan akses kepada peruntukan undang-undang Universiti serta membantu memperkukuh kefahaman terhadap kerangka perundangan yang menjadi tunjang kepada pengurusan dan pentadbiran Universiti.
Penerbitan Kanun UPSI merupakan inisiatif Bahagian Perundangan UPSI di bawah kepimpinan Penasihat Undang-Undang UPSI, Puan Salwati binti Mohd Aris dan diketuai oleh Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Perundangan, Tn. Haji Shuhir Karmawi bin Abdul Aziz.



Kanun UPSI ini disusun sebagai sumber rujukan bagi membantu warga Universiti melaksanakan tugas selaras dengan peruntukan undang-undang serta amalan tadbir urus terbaik.
Naskah Kanun UPSI telah diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor UPSI dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada 22 Jun 2026. Seterusnya, pada 30 Jun 2026, naskhah Kanun UPSI telah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI, sebagai simbol komitmen UPSI dalam menjunjung kedaulatan undang-undang sebagai asas kepada tadbir urus institusi.
Lebih daripada sebuah himpunan undang-undang, Kanun UPSI mencerminkan iltizam Universiti untuk membudayakan pematuhan, memperkukuh integriti dan menyelaraskan amalan pentadbiran dalam kalangan warga UPSI. Penerbitannya diharapkan menjadi rujukan utama yang menyokong penyampaian perkhidmatan yang cekap, berakauntabiliti dan berteraskan prinsip tata kelola terbaik demi Jiwa UPSI.
