TANJONG MALIM, 24 OKTOBER 2026 – Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh usaha menyokong kesejahteraan psikososial dan kecemerlangan akademik mahasiswa menerusi penganjuran program Restart, Refocus, Rise: Series 2 (Degree) yang berlangsung secara dalam talian melalui Google Meet, dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari, hari ini. Program ini disertai seramai 500 orang mahasiswa.
Program yang dikendalikan oleh Cik Che Noor Hawa binti Che Ismail, Timbalan Pendaftar merangkap Kaunselor Berdaftar di Pusat Kaunseling UPSI, memberi tumpuan kepada pembangunan kendiri mahasiswa ijazah sarjana muda, khususnya dalam membantu mereka menilai pencapaian akademik, mengenal pasti faktor yang mempengaruhi prestasi pembelajaran serta membina strategi perubahan yang lebih terancang bagi mencapai matlamat akademik masing-masing.
Menerusi tiga slot utama, iaitu Restart, Refocus dan Rise, mahasiswa dibimbing untuk menilai semula hala tuju pengajian, menyusun keutamaan serta menterjemahkan perancangan kepada tindakan yang konsisten dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik.
Slot pertama, Restart – Menilai Diri dan Memahami Prestasi Akademik, memberi penekanan kepada refleksi kendiri bagi membantu mahasiswa menghayati semula tujuan utama melanjutkan pengajian di universiti. Mahasiswa dibimbing mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik serta punca atau tindakan yang menyebabkan kemerosotan prestasi mereka, termasuk aspek disiplin, motivasi, pengurusan masa dan strategi pembelajaran.



Selain itu, mahasiswa turut diberikan penerangan mengenai Purata Nilai Gred (PNG) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), termasuk perbezaan antara kedua-duanya serta kaedah pengiraan berdasarkan gred dan jam kredit kursus. Latihan pengiraan pointer turut dilaksanakan bagi memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang cara keputusan akademik ditentukan dan bagaimana prestasi setiap semester mempengaruhi pencapaian kumulatif sepanjang pengajian.
Slot kedua, Refocus – Membina Fokus dan Strategi Peningkatan Akademik, menekankan kepentingan pengurusan diri dan penetapan matlamat yang realistik. Mahasiswa dibimbing untuk memperkukuh disiplin dalam menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan, mengurus masa dengan seimbang antara akademik, kokurikulum dan kehidupan peribadi, serta mengambil tanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri.
Aspek daya tahan turut diberikan perhatian bagi membantu mahasiswa bangkit selepas menghadapi kegagalan dan menjadikan pengalaman tersebut sebagai peluang untuk memperbaiki prestasi. Mahasiswa juga digalakkan membentuk pemikiran positif (growth mindset), dengan mengubah tanggapan negatif seperti “Saya tak pandai” kepada “Saya boleh belajar dan memperbaiki diri”.
Bagi memastikan matlamat yang ditetapkan dapat dilaksanakan, mahasiswa diminta mengenal pasti perkara yang perlu diberikan keutamaan dalam rutin harian serta menyediakan jadual harian dan jadual belajar yang bersesuaian dengan keperluan dan komitmen masing-masing. Pendekatan ini bertujuan membantu mereka membina rutin pembelajaran yang lebih sistematik dan konsisten.
Seterusnya, slot ketiga, Rise – Menterjemahkan Perancangan kepada Tindakan dan Membina Motivasi Diri, menekankan bahawa perancangan semata-mata tidak akan menghasilkan perubahan tanpa tindakan yang berterusan. Mahasiswa digalakkan mengambil langkah praktikal seperti menghadiri kuliah secara konsisten, menyiapkan tugasan mengikut tempoh yang ditetapkan, memperuntukkan masa untuk ulang kaji dan mendapatkan bantuan apabila menghadapi kesukaran dalam pembelajaran.
Dalam usaha mengekalkan momentum perubahan, mahasiswa turut diminta mengenal pasti kata-kata motivasi, individu inspirasi atau perkara yang dapat menjadi sumber kekuatan ketika berasa kecewa dan kehilangan semangat. Mereka juga didedahkan kepada kepentingan membina ketahanan emosi ketika berhadapan dengan cabaran persekitaran sosial, termasuk sindiran atau pandangan negatif rakan sebaya apabila berusaha melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Mahasiswa digalakkan agar tidak membiarkan tanggapan negatif orang lain menghalang usaha memperbaiki diri, sebaliknya membina batasan yang sihat dalam pergaulan serta mendapatkan sokongan daripada rakan yang mempunyai matlamat dan aspirasi positif.
Program turut diakhiri dengan slot refleksi yang memberi peluang kepada peserta berkongsi pengalaman, pandangan dan manfaat yang diperoleh sepanjang program berlangsung.
Jasli bin Jaipi, pelajar Semester 5 daripada Fakulti Sains Kemanusiaan, melahirkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai program tersebut yang disifatkannya sebagai sumber motivasi untuk mengekalkan minat terhadap pembelajaran dan mengingatkan dirinya kembali kepada matlamat asal melanjutkan pengajian.
Menurutnya, program ini turut membantu mahasiswa merancang perjalanan akademik dengan lebih terarah, selain memberikan pendedahan berkaitan pengiraan pointer agar mereka lebih memahami dan cakna terhadap pencapaian akademik masing-masing, khususnya mahasiswa Semester 1 dan 2 yang masih menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti. Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana manfaatnya yang besar kepada mahasiswa.
Sementara itu, Wong Dhuo Hee, pelajar Semester 1 dalam bidang Perakaunan daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, menyatakan bahawa program ini berjaya meningkatkan motivasinya untuk memperbaiki pengurusan diri dan pembelajaran. Beliau mengakui bahawa pengurusan masa secara sistematik merupakan antara aspek yang perlu ditambah baik.
Melalui program ini, beliau memperoleh kesedaran tentang kepentingan menyediakan jadual harian dan jadual belajar yang terancang bagi membantu mengurus masa dengan lebih berkesan. Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana dapat menyertai program yang memberikan panduan praktikal serta manfaat kepada dirinya sebagai mahasiswa.
Penganjuran Restart, Refocus, Rise: Series 2 (Degree) turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik, melalui penekanan terhadap kesejahteraan mental dan emosi; SDG 4: Pendidikan Berkualiti, melalui usaha menyokong kesinambungan pembelajaran dan peningkatan pencapaian akademik; serta SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan, melalui penyediaan akses kepada sokongan psikososial yang inklusif bagi membantu mahasiswa menghadapi cabaran pengajian.
Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Kaunseling UPSI dalam menyokong pembangunan mahasiswa secara holistik melalui pendekatan yang menggabungkan kesedaran kendiri, pengurusan diri, motivasi dan tindakan berterusan. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu mahasiswa menetapkan hala tuju akademik yang lebih jelas, membina keyakinan diri dan terus berusaha meningkatkan pencapaian akademik demi mencapai kejayaan sepanjang pengajian.

