- oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
- foto: Fisol Ahmad
Sekinchan – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mungkin itu gambaran yang dihadapi pelajar semester tujuh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Siti Najikhah Md Hamin, 22, setelah hilang tempat bergantung apabila satu persatu ahli keluarganya kembali ke rahmatullah sejak tahun 2020.
Bermula dengan kematian abangnya, Mohd Norhelmi Md Hamin akibat menghidap penyakit barah dan jangkitan kuman pada Ogos tahun lalu, kakak iparnya Noor Azlina Mat Isa terlebih dahulu pergi menghadap illahi apabila derita barah payudara merebak dan meragut nyawanya pada sekitar April tahun yang sama.
“Sebagai adik bongsu, saya melihat dan turut rasai penderitaan yang mereka lalui, apabila sering ikut ulang-alik ke pusat rawatan di ibukota. Namun, apa yang lebih menyayat hati, hasil perkahwinan mereka meninggalkan empat orang anak yang masih kecil iaitu Ifti Inshirah, 15, Aliya, 11, Ariyana, 7 dan Khalisah, 5. Dalam tempoh empat bulan, saya kehilangan abang dan kakak ipar, anak-anak ini pula kehilangan ibu dan ayah dan menjadi yatim piatu,” jelasnya hiba.
Menurut Siti Najikhah lagi, anak sulung kepada allahyarham Helmi, Ifti Inshirah berstatus orang kelainan upaya (OKU) dan perlu sentiasa dipantau dan diberi pengawasan kerana adakalanya Ifti akan diserang sawan dengan tidak disangka-sangka.
Tahun 2020 abang dan kakak ipar meninggal dunia akibat barah, 2021 ayah meninggal sebab demam panas, emak meninggal kerana jangkitan kuman.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Pendidikan Islam itu berkata, selepas pemergian kedua ibubapa mereka, anak-anak buahnya yang kini tiada tempat bergantung dan menjadi amanah keluarga Siti Najikhah dan nenek di sebelah ibu mereka.
Selepas ketiadaan abang dan kakak iparnya, nasib Siti Najikhah diuji lagi dengan pemergian bapa tercinta pula, Md Hamin Taha, 72, meninggal dunia akibat demam panas.
“Allahyarham telah mengalami masalah penglihatan sejak empat tahun yang lepas. Puncanya beliau mengidap sakit demam teruk sehinggalah deria penglihatannya kabur. Penglihatannya terhad dan pandangan matanya hanya nampak imej bayang-bayang saja,” cerita Siti Najikhah lagi. Bapanya terlantar selama dua bulan sebelum meninggal dunia pada 13 Mac 2021.
Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, belum sempat memujuk hatinya yang lara, bonda yang dikasihinya Martini Saleh, 66, yang menghidap penyakit Hepatisis B pula jatuh sakit. Setelah enam hari bertarung nyawa di hospital, akhirnya allahyarhamah ibu terkena jangkitan kuman serta meninggal dunia, pada tarikh 18 Oktober 2021 yang lalu iaitu sekitar tujuh bulan selepas bapanya meninggal dunia.
“Selepas pemergian ibu dan ayah, mahu tidak mahu, saya perlu menggalas tanggungjawab menjadi penjaga anak-anak buah. Terdahulu, abang sulung saya juga Mhd Darul Aman Md Hamin, 44, telah meninggal dunia pada bulan Mac sekitar tahun 2016 akibat penyakit yang sama dihidapi ibu, Hepatitis B. Bagaimanapun Mhd Darul Aman meninggalkan seorang balu, Siti Saadiah Sajiman dan lima orang anak,” ujarnya.
Mengakui emosinya agak terkesan apabila berhadapan dengan situasi yang agak berat lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang tidak mempunyai pendapatan apatah lagi masih menuntut di UPSI, bagaimanapun Siti Najikhah akui reda dengan ketentuan yang tertulis untuknya.
“Sesungguhnya hati saya luluh, tetapi saya akui, saya perlu cekal untuk hadapi cabaran ini. Melihatkan seorang demi seorang ahli keluarga saya pergi, saya tahu ini memang ujian yang Allah berikan pada saya. Namun saya tahu, ujian ini saya mampu harungi kerana Dia hanya uji pada hamba-Nya yang mampu hadapinya,” jelasnya mengawal emosi.
WEZAS UPSI sumbang Dermasiswa
Prihatin terhadap warganya, UPSI tampil sampaikan sumbangan dermasiswa kepada Siti Najikhah di kediamannya, Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Selangor, di sini hari ini.
Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril berkata Pusat Wakaf, Endowment, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2020 merupakan salah sebuah inisiatif universiti menyantuni golongan sasaran warganya melalui pelbagai kaedah antaranya bantuan derma siswa, sara hidup, yuran pengajian, bantuan khas covid-19, bantuan lap top, pemberian data internet serta khairat kematian.
“Melihatkan keadaan pelajar yang hilang tempat bergantung serta tidak mempunyai pendapatan selepas kehilangan ahli keluarga, pihak universiti bermurah hati menyampaikan sumbangan berbentuk derma siswa sebanyak RM1500 kepada Siti Najikhah sehingga tamat semester dengan harapan dia teruskan pengajian dan mencapai kejayaan cemerlang,” jelasnya ketika ditemui.
Menurut Mohd Izwan lagi, pihaknya akan mempertimbangkan pemberian bantuan sara hidup tambahan untuk Siti Najikha kelak.
“Sungguhpun WEZAS UPSI masih baru ditubuhkan, Seramai lebih 9 ribu pelajar dengan bantuan sebanyak RM3.1 juta telah berjaya diagihkan. Bagaimanapun WEZAS UPSI mempelawa mana-mana badan korporat yang berhasrat menyumbangkan zakat mereka boleh menghubungi talian 05- 4506994,” jelasnya lagi.