• Oleh: MOHAMAD ATHIR ISMAIL (Media Mulia)

KUALA SELANGOR: Guru-guru diingatkan tentang tanggungjawab dan perbezaan menjadi seorang pengajar atau pendidik terutama dalam berdepan dengan pelbagai cabaran pada abad ke-21.

Ini kerana, pengajar dikatakan sebagai seorang yang melaksanakan tanggungjawab sebagai guru dan menerima gaji setiap bulan sementara pendidik pula memainkan peranan mengatasinya termasuk membentuk keperibadian seorang murid.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, jiwa sebagai seorang pendidik perlu disemarakkan oleh guru dan bakal guru kerana sikap sedemikian dikatakan mampu mengubah sikap seorang murid.

“Kerana, mereka yang berjiwa pendidik adalah akan mampu untuk mengubah karakter pelajar berkenaan. Mampu bangunkan pelajar daripada gagal kepada berjaya, tidak bersemangat kepada bersemangat.

“Ini semua adalah kerana daripada seorang yang jiwanya bergelar pendidik. Pendidik tidak mengenal erti penat dan lelah, tidak akan berkira soal masa, peranan dan tanggungjawab. Bila pelajar sakit di dalam asrama, dia sanggup bersama pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penyempurnaan penutupan Program Minggu Kreativiti Pendidikan 2022 yang diadakan pada 1 hingga 30 Mac anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, hari ini.

Hadir sama adalah Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor dalam program yang turut melibatkan penyertaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Ahmad Masrizal menambah, ramai orang boleh mengkritik kerjaya sebagai guru atau pensyarah, namun tidak ramai mampu berada di tempat mereka walaupun sekadar 30 minit.

Dalam ucapan sama, beliau turut menyentuh isu membabitkan sebuah video yang tular dalam media sosial mengenai seorang mahasiswa dan pensyarahnya baru-baru ini.

Kata Ahmad Masrizal, kedua-dua pihak tidak boleh dituding jadi terhadap kejadian yang sudah pun berlaku, sebaliknya menggesa pensyarah dan guru mengambil iktibar daripada insiden tersebut.

“Tetapi, yang perlu kita mengambil peranan dan perhatian bukanlah isu, tetapi soal bagaimana boleh menjadi begitu tular dan ambil iktibar kerana dalam setiap perkara semuanya berada di sini.

“Pada guru dan pensyarah yang hadir pada hari ini, saya doakan supaya semua diberikan kekuatan dan keupayaan untuk menempuhi alam menjadi seorang pendidik pada abad ke-21,” jelasnya. – UTUSAN

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my