Oleh: Nurfarahain Raudhah Abdul Razak
Kuala Lumpur – 1 dan 2 September 2023 telah berlangsungnya Nuansa Teaterikal Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu bertempat di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur anjuran bersama Katarsis Seni dengan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Tujuan utama yang digariskan dalam program ini adalah untuk memperingati sejarah seni di Malaysia pada tahun 80-an di tapak warisan sejarah di Pasar Seni Kuala Lumpur sejurus melakar satu elemen melalui apresiasi jiwa dalam kalangan generasi muda melalui pendidikan.
Program ini mengangkat sejarah perkembangan awal seni dan sastera di Pasar Seni Kuala Lumpur dengan menerapkan pelbagai mesej positif sempena bulan patriotik ini. Ia telah menampilkan beberapa orang artis iaitu Sani Sudin, SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Fairuz Pujangga, Moh Azam, Shafa’atussara, Saiful Wazien, Adiwangsa Sukma dan barisan pelajar dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (UPSI). Barisan produksi terdiri daripada Maisarah Yazid (Pengarah program, MMK KZ), Dr. Nor Shuradi Nor Hashim (Pengarah persembahan merangkap penulis skrip) dan Amsalib Pisali (Pengarah kreatif). Acara malam itu berjalan gilang gemilang dengan menampilkan pelbagai genre persembahan antaranya puisi, monolog, lagu puisi, puisi, pantun dan pelbagai lagi. Acara dimulakan dengan lakonan hebat dari Saiful Wazien dengan dibantu essembled dari mahasisawa UPSI dan diakhiri dengan nyanyian lagu Tanggal 31.
Program ini telah memberi impak yang positif kepada mahasiswa dan mahasiswi yang turut berkerjasama dalam mempromosikan seni dan budaya Malaysia dengan mengangkat seni, sastera, budaya dan Pendidikan antara penggiat dan penghayat. Hal ini dapat mendedahkan kepada orang ramai tentang kepelbagaian budaya yang menggambarkan imej dan reputasi Malaysia yang perlu dihargai. Di samping itu, ia dapat membantu meningkatkan kesedaran dan pengiktirafan orang ramai terutamanya kepada pelancong asing menerusi penyampaian mesej daripada setiap perincian program dalam mendidik masyarakat bermula dari bawah dan berpasak di bumi Merdeka.