Kejohanan Sukan MASUM Fasa 1 2023 yang mempertandingkan 8 jenis sukan. Antara sukan yang dipertandingkan adalah seperti bola baling, bola keranjang, bola tampar, memanah sofbol, taekwondo, lawn bowls dan menembak.
Bagi Fasa 1 ini, Universiti Sains Islam Malaysia dipilih sebagai tuan rumah kejohanan. MASUM 2023 ini merupakan kejohanan MASUM yang pertama mempertandingkan sukan bola baling yang dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita sejak 3 tahun lalu.
Tidak ketinggalan bagi pasukan bola baling wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang turut menyertai kejohanan MASUM pada kali ini.
Pada kejohanan kali ini, pasukan bola baling wanita UPSI berjaya merangkul kedudukan naib johan setelah bertemu dengan musuh tradisinya pasukan UITM. Walaubagaimanapun, pencapaian pada kali ini merupakan titik tolak pembangunan pasukan bola baling UPSI pada tahun-tahun berikutnya selepas 5 tahun tanpa kejohanan MASUM bagi sukan ini.
Pasukan ini diwakili oleh pelajar-pelajar diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari pelbagai fakulti di UPSI. Pasukan bola baling wanita UPSI ini dikemudi oleh Nor Ashikin Hassan dan Mohamad Iqbal dalam menyusun struktur latihan dan taktikal bagi persediaan pasukan menghadapi kejohanan MASUM pada kali ini.
Pasukan bola baling wanita UPSI menang bergaya pada peringkat kumpulan dengan mengalahkan pasukan IIUM dan UTeM. Kemudian di peringkat suku akhir mereka berjaya menundukkan pasukan dari UPM lantas mara ke peringkat separuh akhir bertemu dengan pasukan UnisZa wakil dari Pantai Timur. Kemenangan berpihak kepada UPSI dan membawa pasukan ini ke peringkat akhir.
Menurut pengiring bersama pasukan bola baling lelaki dan perempuan UPSI, Dr. Maulana Al-Fin, pada peringkat separuh akhir, beberapa pemain wanita sudah mengalami kecederaan serius sehingga menyebabkan kualiti permaianan agak menurun.
“Akhirnya pasukan bola baling wanita UPSI terpaksa akur dengan keputusan perlawanan akhir pada tempat kedua naib johan kejohanan dan berjaya menggalas pingat perak untuk di bawa balik ke Bumi Muallim,” katanya.