Oleh: Nur Aina Shofia & Mohamad Alif Aidilazma
Tanjong Malim: Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh telah menganjurkan program MerdeKAHS yang berjalan selama lima hari bersempena dengan sambutan kemerdekaan yang ke-66 di persekitaran Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Program yang bertujuan untuk menyemai lagi rasa cinta akan negara dalam diri mahasiswa dan mengeratkan lagi hubungan sesama penghuni kolej ini telah disertai oleh 700 orang mahasiswa yang terdiri daripada pelajar diploma dan tidak lupa juga penduduk sekitar Tanjung Malim.
Antara pertandingan yang dijalankan sepanjang MerdeKAHS berlangsung ialah Jelajah Madani 66 yang merupakan sebuah pertandingan “explorace” di mana setiap ahli perlu bekerjasama untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan di setiap “checkpoint”. Setiap ahli perlu berkerjasama untuk memikirkan strategi yang mantap untuk mendapatkan markah penuh di setiap “checkpoint” dan menyelesaikan tugasan yang diberikan secepat mungkin. Setiap kumpulan juga telah diberikan “barang amanah” yang perlu dijaga untuk mendapatkan markah tambahan di hujung pertandingan. Pelbagai kerenah dan idea luar kotak yang telah dilontarkan oleh peserta dalam menyelesaikan setiap tugasan. Jelajah Madani 66 ini bukan sahaja menguji peserta dari segi fizikal, malah juga menguji peserta berkenaan pengetahuan umum berkenaan tokoh-tokoh kemerdekaan yang telah banyak berjuang dan serta berkorban untuk negara kita.


Pertandingan lain yang turut dijalankan bersempena dengan MerdeKAHS ialah Sukan Madani Futsal & Bola Jaring. Sukan Madani ini bukan sahaja dapat menggalakkan lagi mahasiswa untuk mengamalkan gaya hidup sihat, malah menyerlahkan lagi semangat mahasiswa yang mempunyai kemahiran dalam bidang sukan. Setiap kumpulan juga perlu menyusun strategi sewaktu beraksi di gelanggang dan menyemarakkan lagi semangat berpasukan dalam diri mahasiswa. Sukan Madani ini bukan sahaja disertai oleh penghuni Kolej Awang Had Salleh, malah turut disertai oleh pelajar tingkatan 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari. Semangat sukan yang membara-bara dalam diri para peserta dapat dilihat melalui permainan mereka yang sangat tersusun dan yang paling penting, setiap peserta bertanding secara sihat.


Seterusnya ialah Malam Shining Star merupakan sebuah pertandingan yang dianjurkan untuk mencungkil bakat mahasiswa dalam bidang nyanyian dan juga mencari pelapis untuk mewakili kolej mahupun unversiti. Pertandingan nyanyian bertemakan patriotik ini bukan sahaja mengasah bakat nyanyian pelajar, malah memberikan lagi pendedahan kepada mahasiswa dengan karya seni yang telah dihasilkan oleh karyawan negara yang mempunyai unsur-unsur patriotik. Malam Shining Star ini juga berjaya menjentik rasa cinta akan negara dalam diri peserta dan tidak dilupakan juga penonton yang turut hadir memeriahkan lagi malam tersebut melalui bait-bait lirik lagu yang dinyanyikan.


Kemuncak sambutan MerdeKAHS ini adalah pada sambutan Ambang Merdeka peringkat universiti yang telah dianjurkan oleh Pusat Tanggungjawab yang lain seperti Pusat Kokurikulum dan Fakulti Sains Kemanusiaan dengan kerjasama Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh. Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff telah hadir menyantuni 1500 pengunjung yang membanjiri persekitaran Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penuh semangat bagi menyambut hari yang bermakna dan penuh bersejarah tersebut. Mereka disajikan dengan pelbagai program termasukah persembahan nyanyian daripada penyertaan Malam Shining Star, deklamasi sajak serta tarian etnik Malaysia. Tepat jam 12 tengah malam, lagu Negaraku telah dimainkan diselangi pertunjukkan bunga api selama lima minit yang telah menerangi dan mewarnai langit Tanjong Malim malam itu.

