Oleh : Norelme binti Mokhtar dan Muhammad Fatkhurrozak bin Sokhipul Hadi
(Pendidik Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara)
Tanjong Malim: Seramai lebih 400 orang yang memeriahkan Sambutan Kemerdekaan TASKA TADIKA NCDRC yang dianjurkan pada Rabu, 13 September 2023 bertempat di Ruang Parkir TASKA TADIKA NCDRC Kampus Sultan Azlan Shah.
Semangat patriotime yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dibuktikan apabila mereka beramai-ramai dengan semangat melaungkan laungan keramat “Merdeka” sebanyak 7 kali.
Laungan ini diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa. Menurut beliau dalam ucapannya, meluahkan rasa syukur Malaysia sudah mencapai kemerdekaan selama 66 tahun. Laungan Merdeka ini bukan sekadar laungan namun ianya sebagai pembakar semangat kepada generasi muda untuk menghargai pengorbanan pejuang tanah melayu terdahulu.
Menurutnya lagi, penglibatan ibu bapa dalam program yang dianjurkan dapat mengeratkan silaturrahim sesama ibu bapa dan para pendidik sekaligus dapat melihat potensi anak-anak mereka dalam aktiviti yang dianjurkan.
Turut hadir memeriahkan, Pengarah Jabatan Stategik UPSI, Prof. Madya Dr. Azmi bin Mohamed, Timbalan Pengarah Akademik, Perkembangan Kanak-kanak dan Sistem Data NCDRC, Dr. Masayu Dzainudin. Turut bersama juga En. Mohd Fitri Ab Ghani selaku Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru NCDRC serta wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Mualim, En. Mohd Ghazawi Zulkarnain.
Menurut Pn. Norazlina Khairuddin, Pengurus TASKA TADIKA NCDRC menyatakan program sebegini sangat mendapat respon positif daripada ibu bapa dan akan melibatkan lebih ramai lagi penyertaan daripada masyarakat setempat pada masa akan datang.
“Besar harapan saya agar program seperti ini menjadi program tahunan yang berimpak tinggi, tidak hanya berdasarkan penglibatan penyertaan peserta sahaja tetapi kesan yang akan kita bawa ke dalam perkembangan sosio emosi dan kognitif kanak-kanak”, katanya.
Sepanjang program ini berlangsung, terdapat perarakan kemerdekaan yang melibatkan kesemua kanak-kanak dengan persembahan gimik yang menghiburkan. Selain itu juga, persembahan deklamasi sajak yang dipersembahankan oleh kanak-kanak 6 tahun menjadi highlight pada program pagi ini.
Penglibatan Mahasiswa Pendidikan Awal Kanak-kanak dalam pelaksanaan program ini jelas menunjukkan mahasiswa UPSI mampu memberikan sumbang bakti kepada masyarakat dan menjadi PERMATA di setiap sektor industri yang terlibat.