Oleh: Nurul Ainie binti Abdullah (Pegawai U-Media PPA)
Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah memperoleh keputusan “Berdaya Saing” bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA). Keputusan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui laman sesawang https://myher.mohe.gov.my, pada 1 September 2023. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang Berdaya Saing merupakan institusi yang dinilai dan diklasifikasikan dalam kumpulan IPT yang cemerlang dan memenuhi kriteria-kriteria penilaian di bawah Penarafan IPT Malaysia.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia telah melaksanakan penarafan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Tahun 2022 yang merangkumi Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) dan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST). SETARA merupakan sistem penilaian bertujuan untuk mengukur jaminan kualiti dan standard Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi Universiti Awam dan juga Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi kategori Universiti dan Kolej Universiti.
Sistem SETARA telah dirangka untuk membantu universiti membina asas-asas yang kuat dalam tiga fungsi teras utama iaitu: (1) Pengajaran, (2) Penyelidikan dan (3) Perkhidmatan melalui metriks dan metadologi penilaian yang telah ditetapkan. Setiap data institusi yang digunakan di dalam penilaian penarafan ini perlu melalui proses verifikasi dan validasi melalui audit lapangan (Site Audit) oleh juruaudit bebas yang dilantik oleh pihak KPT. Pusat Pembangunan Akademik merupakan salah satu jentera penggerak pembangunan dan pengurusan Universiti yang bertanggungjawab secara langsung dalam perancangan dan pengurusan data SETARA UPSI.
Penarafan SETARA dijalankan setiap 3 tahun. Penarafan Tahun 2022 merujuk kepada Penarafan SETARA bagi tahun 2019, 2020 dan 2021. KPT telah membuat pembaharuan pelaksanaan SETARA dan MyQUEST 2022 dengan hanya membahagikan kepada dua kategori sahaja berbanding enam kategori sebelum ini iaitu Berdaya Saing (Competitive) dan Berdaya Maju (Viable).
Penetapan kategori baharu bagi Penarafan SETARA dan MyQUEST 2022 ini mengambil kira kesan pandemik COVID-19 ke atas pengurusan IPT. Ia dilihat sebagai salah satu pendekatan yang adil dan realistik kepada IPT memandangkan data yang dinilai meliputi tahun 2019, 2020 dan 2021 yang merupakan tahun-tahun negara dilanda pandemik COVID-19. Oleh yang demikian, keputusan penilaian Penarafan IPT 2022 hanya mengguna pakai data tahun 2021 sahaja. Semoga UPSI terus kekal berdaya saing bersama IPT Awam dan Swasta di masa akan datang.