Oleh: Dr. Nor Fadila Kasim & Muhammad Airul Idham Baharin

Tanjong Malim- International Mobility Centre UPSI dengan kerjasama Education Malaysia Sydney telah mengadakan program Australian Familiarization Visit pada 13 September 2023 dalam langkah untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pengantarabangsaan pelajar. Lawatan ini telah disertai oleh 7 buah universiti iaitu University of Queensland, University of Tasmania, Queensland University of Technology, La Trobe University, Edith Cowan University, University of Canberra dan University of Southern Queensland.

Usaha kerjasama ini adalah bukti keperluan program pengantarabangsaan dan mobiliti pelajar di antara kedua-dua negara. Delegasi berpeluang merasai pelbagai program edutourism yang terdapat di UPSI seperti aktiviti white water rafting di Sungai Bernam anjuran Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan. Lanskap semulajadi yang menakjubkan, hutan hujan yang hijau dan sungai yang bersih memberikan pengalaman yang berbeza buat mereka.

“Keseronokan menelusuri sungai ini sungguh mengagumkan! Kami dikelilingi oleh kehijauan Malaysia dan dibantu oleh jurulatih berpengalaman dari UPSI’’, Gemma Brophy dari Queensland University of Technology. 

Selepas aktiviti eksplorasi sungai, delegasi Australia juga berpeluang untuk meneroka budaya Malaysia di Galeri Seni. Mereka dipertontonkan dengan persembahan tarian tradisional yang menarik daripada pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan. Gerakan yang mengasyikkan dan pakaian tradisional yang unik telah menarik minat delegasi Australia.

Program diteruskan dengan demonstrasi memasak kuih tradisional iaitu ondeh-ondeh dengan seliaan Fakulti Teknikal dan Vokasional, delegasi bukan sahaja dapat melihat cara menyediakan kuih ondeh-ondeh, malah mereka diberikan peluang untuk menunjukkan kehebatan mereka menyediakan hidangan tersebut. Menurut pegawai konsulat dari Education Malaysia Sydney, Puan Hawa Othman, “sehari sebelum tiba di UPSI, delegasi telah disajikan dengan kuih ondeh-ondeh dan mereka sangat menggemarinya. Apabila berpeluang mempelajari cara pembuatannya, mereka sangat teruja dan gembira”.

Delegasi kemudiannya dipersembahkan dengan persembahan muzik tradisional, wayang kulit dan pameran ukiran kraftangan tradisional Melayu. Di sini, mereka berpeluang untuk mencuba sendiri alat muzik tradisional Melayu dan menghasilkan kraftangan di bawah kendalian Fakulti Muzik dan Seni Persembahan dan Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif. 

Mereka juga turut teruja apabila diberi peluang untuk melihat adat dan tradisi perkahwinan Melayu serta seni melukis inai. Ia memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang adat tradisi masyarakat Malaysia. Delegasi juga diundang mengambil bahagian ke upacara perkahwinan orang Melayu dan mencuba merenjis serta menepung tawar pengantin di pelamin. 

Lawatan di Galeri Seni ini juga dimeriahkan dengan sesi ramah mesra bersama Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada universiti-universiti pelawat atas komitmen mereka dalam memperkukuhkan ikatan pengantarabangsaan pelajar di antara UPSI dan Australia. Beliau menekankan kepentingan perkongsian seperti ini dalam mempersiapkan pelajar untuk berjaya dalam dunia global.

“Pendidikan tidak mengenal sempadan, dan kerjasama kami dengan universiti-universiti Australia yang dihormati ini adalah tanda komitmen bersama kami untuk memberikan pengalaman pendidikan global yang baik kepada pelajar. Kami menantikan kerjasama yang lebih lanjut yang akan memperkayakan kehidupan pelajar dan memperkukuhkan ikatan antara dua negara ini,” ujarnya lagi.

Lawatan Australian Familiarization ini menandakan langkah yang signifikan untuk memperkukuhkan hubungan pendidikan dan budaya antara Malaysia dan Australia dan ia bersedia untuk membuka jalan kerjasama yang besar pada masa depan. 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)