Oleh: Mohamad Alif Aidilazma bin Abdul Rahim

Tanjong Malim- Program Sekolah Rukun Negara (ASAS) yang dilaksanakan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh, UPSI dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan  telah diadakan pada 24 September 2023 bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, Tanjong Malim. Ceramah yang disampaikan oleh Puan Nurhafiza binti Mohammad Fadzil, Penolong Pengarah, Kluster Kenegaraan, Institut Pembangunan & Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), KBS dapat memantapkan lagi semangat patriotik, jati diri dan kesepaduan nasional untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab sekaligus membentuk nilai keperibadian, kebertanggungjawaban dan kesepaduan yang tinggi di antara satu sama lain.

Program merupakan sebuah program yang memberikan pendedahan kepada belia khususnya mahasiswa berkaitan dengan kefahaman mereka tentang ilmu sistem demokrasi di negara ini. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata program tersebut boleh disertai oleh belia yang berumur antara 15 hingga 30 tahun terutamanya pelajar lepasan sekolah yang berusia 18 tahun. Program berbentuk ceramah ini bertujuan untuk memberi kesedaran terhadap mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris tentang kefahaman sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berpelembagaan yang dipraktikkan di negara kita.

Menurut Dr. Sakinah Salleh, Pengarah Pusat Ulul Albab mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI semasa ucapan perasmiannya menyatakan bahawa dengan penganjuran program seperti ini dapat meningkatkan lagi mutu kecintaan mahasiswa terhadap penghayatan nilai Rukun Negara. Turut hadir semasa majlis penutupan adalah Encik Arsyad Kamaruzzaman, Ketua Penolong Pengarah, Kluster Kenegaraaan, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (I-Lead), KBS.