Oleh: Awang Hazril Haiqal bin Awang Marali
Tanjung Malim – Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid telah mengadakan Forum: Malaysia in the Eyes of the World dan Pertandingan Video Sosial Eksperimen: Sanjung Pertiwi di bawah Program Malaysia Unrevealed: A Global Perspective yang berkonsepkan webinar. Kedua-dua program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk menanamkan rasa cinta akan negara sejurus ingin melahirkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda pada masa ini. Forum yang dilaksanakan pada 26 Ogos 2023 ini melibatkan beberapa orang panel yang terdiri daripada mahasiswa tempatan iaitu Nurul Ummi Muhammad Razak serta Muhammad Shamir Zulkifli sebagai moderator. Panel antarabangsa pula terdiri daripada Oga Morita dan Nur Ilmi Wathoni manakala pertandingan video sosial eksperimen terdiri daripada dalam kalangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan IPTA yang telah diadakan bermula 5 Ogos 2023-12 September 2023.
Forum yang telah dilaksanakan tersebut mendapat sambutan yang memberansangkan daripada kalangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan IPTA serta komuniti yang turut menyertai forum ini. Pertandingan video sosial eksperimen juga turut tidak ketinggalan mendapat sambutan melalui penyertaan yang menggalakkan. Tema yang diketengahkan dalam pertandingan ini antaranya adalah seperti rukun negara, tokoh kemerdekaan dan sejarah negara.
Selaku Pengarah Program, Saudara Abbas Ali Iftikhar Hussain berharap agar ilmu yang diperoleh melalui program ini dapat mendorong penghuni Kolej Harun Aminurrashid dalam membantu untuk memperkasakan lagi makna Siswa Madani di kolej dan peringkat Universiti seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Menurut Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, “Program seperti ini wajar untuk diteruskan bagi memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar pada masa ini dan juga mendalami semangat semarak siswa madani serta beliau berharap agar semua pelajar yang menyertai setiap aktiviti yang telah dilaksanakan ini memberikan satu perubahan baharu melalui semangat patriotik kepada semua mahasiswa dan mahasiswi”.
Peserta yang mendapat tempat pertama menerima wang tunai sebanyak RM 250.00 manakala tempat kedua sebanyak RM 180.00 dan tempat ketiga mendapat sebanyak RM 100.00 sebagai hadiah kepada peserta dalam Pertandingan Video Sosial Eksperimen: Sanjung Pertiwi.
Melalui video sosial ekperimen yang telah dihantar oleh kesemua peserta, kita dapat mengetahui sedikit sebanyak gaya hidup masyarakat Malaysia pada hari ini yang serba canggih dengan teknologi dan kita juga dapat melihat bagaimana mereka seimbangkan antara nilai murni dengan kemajuan negara yang kian pesat.
Kedua-dua program yang dijalankan oleh Exco Perpaduan dan Integrasi ini diharapkan agar menjadi satu titik dorongan dan motivasi kepada semua yang terlibat terutama sekali para peserta dalam melahirkan semangat cinta akan tanah air.