UNITAR – Dalam usaha memperkukuh pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Pembacaan, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM), satu Memorandum Persefahaman (MoU) “1 + 3 Matching Grant” telah dimeterai antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Antarabangsa UNITAR, Universiti SEGI dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 19 Oktober.

Melalui MoU tersebut, geran sepadan bernilai RM80,000 ini akan memfokus kepada kajian yang bertajuk “Memanusiakan Pedagogi dalam Talian Melalui Integrasi Pendidikan STREAM di Universiti-universiti Malaysia bagi Perkhidmatan Teknikal Pengkomputeran”.

Kumpulan penyelidik UPSI dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) terdiri dari Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Dr. Nor Asiah Mohamad@Razak, Dr. Yusri Abdullah, Dr. Suliana Sulaiman dan Hasnatul Nazuha Hassan yang akan melaksanakan kajian terhadap pelajar dari bidang kejuruteraan perisian, teknologi maklumat, sains komputer, reka bentuk dan teknologi serta permainan digital.

Kumpulan penyelidik UNITAR akan menumpukan kepada pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Teknologi Maklumat (MIT), sementera penyelidik SEGI kepada pelajar bidang kesihatan dan sosial. Penyelidik dari UiTM pula akan berfokus kepada pelajar dalam bidang pendidikan.

Pelaksanaan kajian dua tahun ini dijangka menyumbang kepada aspek kualiti pedagogi pendidikan STREAM dalam talian, sekaligus memberi impak kepada kemenjadian pelajar dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan teknologi maklumat. Ianya bertepatan dengan hasrat UPSI sebagai peneraju bidang pendidikan di Malaysia.

Dapatan kajian ini juga akan dijadikan panduan bagi pembinaan Modul STREAM selaras dengan Pembelajaran Abad 21.

Majlis MoU yang diadakan di UNITAR ini ditandatangani oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UNITAR, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti SEGI, Prof. Dr. Azrin Esmady Ariffin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Hajah Roziah Mohd Janor.