Oleh: Nur Shafiq Iqwan Shafiruddin
UPSI– Minggu Orientasi Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ambilan Oktober 2023 telah melabuhkan tirai dengan Malam Tautan Atma 2.0 (MATA2.0) yang diadakan di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI pada 24 Oktober.
Setiap kali kemasukan pelajar, pihak pengurusan universiti amnya dan pengurusan kolej-kolej kediaman khususnya tidak akan melepaskan peluang dalam mengadakan perjumpaan mahupun aktiviti bagi memberi nasihat serta peringatan kepada mahasiswa ambilan baharu ini agar sentiasa mempraktikkan elemen 3A iaitu Akademik, Adab dan Akhlak.
Program ini juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara 700 orang penghuni baharu kolej dengan pengetua, pentadbiran serta barisan felo Kolej Awang Had Salleh di samping memperkenalkan dasar dan peraturan umum kolej kepada penghuni. MATA 2.0 ini juga merupakan platform untuk memperkenalkan barisan kepimpinan serta mencari keahlian baharu untuk Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh agar mereka mereka dapat berganding bahu dalam merangka program-program berimpak tinggi.
Dr. Mardiana Ismail, Pengetua Kolej Awang Salleh yang turut serta dalam memeriahkan MATA 2.0 amat yakin dan percaya bahawa setiap kejayaan Kolej Awang Had Salleh dalam sesebuah perkara bukan sahaja terletak pada kecekapan pihak pentadbiran kolej namun turut dibantu oleh penghuni-penghuni kolej yang sentiasa menjaga dan mengutamakan elemen 3A (Akademik, Adab, Akhlak).
Nurul Nasyrah Ismail selaku Ketua Felo berkata, “Walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza, adab adalah cerminan hasil didikan keluarga. Amalkan budaya senyum, sapa dan salam apabila bertemu dengan sesiapa sahaja terutama di kawasan kampus”.
Program ini diharapkan dapat membantu para penghuni untuk lebih mengenali pihak pengurusan serta menjadi medan pencetus silaturahim yang baik buat semua penghuni. Kerjasama yang baik daripada semua pelajar baharu ini telah membantu pihak penganjur untuk mencapai matlamat program.
Terima kasih dan syabas buat semua jawatankuasa yang telah membantu dalam menjayakan program ini.