Oleh: Dr. Abu Zarrin Selamat, Siti Nuraisha Safiyyah Samsurie  & Anis Suraya Muhammad

Tanjong Malim: Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Program Kelestarian Ekosistem Tasik UPSI bersempena Karnival Alam Sekitar peringkat UPSI 2023 pada 27 Oktober 2023 bertempat di Tasik Marina UPSI.

Program yang dirasmikan oleh Helmi Zaifura Abdul Rahman, Pendaftar UPSI ini telah disertai oleh barisan pensyarah, sekretariat Karnival Alam Sekitar UPSI 2023, kakitangan dan pelajar. Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Muhammad Irman Hakim Aris pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam), FSK seterusnya ucapan aluan oleh Dekan FSK, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa.

Program diteruskan dengan pelepasan 5,000 benih anak ikan spesis Terbul dan 500 benih anak ikan keli tajaan Jabatan Perikanan Daerah Batang Padang di Tasik Marina dan penanaman 75 batang anak pokok di sekitar Tasik Marina UPSI. Pokok-pokok ini diberi atas nama pesara UPSI sempena Majlis Jasamu Dikenang.

Program ini sangat signifikan dengan hala tuju dan matlamat fakulti khususnya dan universiti umumnya ke arah universiti rendah karbon dan universiti yang dijamin kelestarian ekosistemnya. Program ini juga dapat memastikan ekosistem tasik UPSI dapat dipelihara dengan baik melalui program pelepasan anak ikan dan penanaman pokok yang telah dijalankan.

Menurut Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, alam sekitar adalah warisan yang paling berharga kita dan telah menjadi satu kewajiban bagi kita bertanggungjawab untuk memastikan warisan ini dapat dipelihara bagi dinikmati oleh seluruh masyarakat, dan memastikan generasi akan datang turut sama dapat menikmatinya.

“Kesedaran terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar adalah asas kepada perubahan amalan hidup masyarakat terhadap pelaksanaan tanggungjawab ke arah cintakan alam sekitar”.

DekanFSK, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa berkata program kali ini menekankan elemen Sustainable Development Goals (SDG) bagi element SDGs 14 iaitu Life Below Water dan SDGs 15 Life and Land.

“Program ini sangat signifikan dengan hala tuju dan matlamat fakulti khususnya dan univeristi umumnya kearah universiti rendah karbon. Fakulti Sains Kemanusiaan dan Fakulti Sains Matematik telah dipersetujui untuk menjadi perintis kepada UPSI dalam mengikuti program Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) bagi kategori berpasangan yang mana kedua-dua fakulti telah diaudit bagi tujuan penganugerahan Provisional Certificate dan kini kedua-dua fakulti ke arah Diamond Recognation”, katanya.

Helmi dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan dengan ucapan tahniah dan syabas ke atas inisiatif FSK dan JPPHB atas penganjuran program. Selain itu, beliau menyeru agar semua warga UPSI untuk sama-sama menyokong dan melaksanakan program-program seperti ini dan berharap UPSI dapat menjadi Universiti Rendah Karbon serta berjaya memperoleh 5 diamond dalam program Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C).

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)