Oleh: Dr Nor Fadila Kasim (FSSK)

Phatthalung, Thailand: Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (UPSI), Kelab Muay Thai UPSI dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan program mobiliti di Thaksin University, Thailand bermula 29 Oktober sehingga 5 November 2023. Program ini dijalankan untuk memberikan pengetahuan baharu tentang seni bela diri Thailand iaitu, Muay Thai.

Menurut pensyarah dari Jabatan Kesihatan dan Sukan, Thaksin University, Prof. Madya Dr. Chamnan Chinsri, program mobiliti kali ini menyediakan  peluang kepada para pelajar untuk untuk meneroka pelbagai aspek latihan Muay Thai, melawat ke Gym Latihan Muay Thai dan sesi interaksi bersama dengan tokoh-tokoh terkemuka dalam komuniti Muay Thai Thailand.

Program dimulakan dengan lawatan ke Gym Nayok-A-Thasala, sebuah institusi ternama yang terkenal dengan program latihan Muay Thai. Di sini, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan sendiri peralatan, dan teknik latihan yang digunakan dalam sukan Muay Thai. Sepanjang berada di sini juga, athlet Muay Thai UPSI berkesempatan untuk berlatih bersama athlet tempatan yang berkongsi kemahiran taktikal Muat Thai Djab Ko dan Muay Thai Buok.

Aktiviti seterusnya, ialah pengenalan kepada seni Wai Kru, sebuah seni persembahan yang biasanya dipersembahkan sebelum pertandingan Muay Thai diadakan. Ia merupakan persembahan seni tarian yang bertujuan untuk menyatakan rasa hormat kepada guru Muay Thai. Aktiviti ini dikendalikan oleh dua orang athlete Muay Thai dari Thaksin University, dan dibantu oleh pensyarah dari Thaksin University iaitu, Dr. Teeraphan Sangkaew.

Usai program Wai Kru di Thaksin University, pelajar UPSI dibawa ke Gym Muay Thai di Sekolah Veeranat di Phatthalung. Di sini, pelajar UPSI yang tidak mempunyai asas Muay Thai telah diberikan kursus pengenalan kepada gerakan asas, manakala athlete Muay Thai diberikan peluang untuk mengasah kemahiran merekan bersama bimbingan jurulatih Kru Thawee dan Kru Ake.

Kemuncak program ini diakhiri dengan sesi lawatan eksklusif bersama Khunpinit Kiettawan, bekas juara Muay Thai Thailand yang terkenal dengan kemahiran luar biasa dan sumbangan beliau kepada sukan ini. Para atlet Muay  Thai UPSI diberikan peluang untuk menyaksikan peralatan khas yang digunakan dalam latihan Muay Thai elit dan mendengar pengalaman beliau sepanjang penglibatan di dalam sukan Muay Thai. Dengan penuh rasa terima kasih, Khunpinit Kiettawan menzahirkan penghargaannya kepada UPSI atas kehadiran dan mengharapkan agar para pelajar dapat memartabatkan sukan Muay Thai di mata dunia.

Menurut athlet Muay Thai UPSI yang terlibat di dalam program ini, Dhivyan Silvaraj, ‘secara keseluruhannya sesi Muay Thai di Thailand adalah di luar jangkaan kerana athlet diberi peluang untuk berlatih dan memerhati bagaimana latihan dijalankan menurut acuan sebenar Thailand. Walaupun menghadapi kekangan bahasa semasa berkomunikasi bersama athlet Thailand, ianya tidak sedikitpun mengganggu momentum pembelajaran dan perkongsian ilmu yang diadakan’.

Secara keseluruhannya, program mobiliti yang diatur ini adalah bukti komitmen UPSI dan Kelab Muay Thai khususnya untuk menambahkan pengalaman dan pengetahuan di dalam bidang sukan ini. Ia juga diharapkan dapat membentuk mereka menjadi athlet yang bersemangat dan berdedikasi, demi menaikkan nama UPSI di dalam sukan Muay Thai.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)