Oleh: Shahaniza Shamsuddin (NCDRC)
Beijing, China, 1 November 2023 – Kumpulan DREAM yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Malaysia telah berjaya merangkul Anugerah Emas di International Convention on Quality Control (ICQCC), Beijing, China 2023. Kumpulan DREAM dianggotai oleh 6 orang kakitangan UPSI yang terdiri daripada kakitangan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dan Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NICE). Kumpulan DREAM diwakili oleh Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Pengarah NCDRC (Fasilitator), Shahaniza Shamsuddin, Eimiza Faisha Azmi, Siti Sarah Ahmad Zubdi, Norzuliati Zubir dan Izni Mohd Daud.
Menurut Ketua Kumpulan DREAM, Shahaniza Shamsuddin, ini merupakan kemenangan kali ketiga kumpulan DREAM setelah mereka berjaya menerima anugerah EMAS di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam Malaysia pada tahun 2022 dan Pengiktirafan Tiga Bintang serta Naib Johan Kategori Sektor Persekutuan Awam di Konvensyen ICC/KIK Malaysia: Road To Beijing 2023 yang melayakkan kumpulan DREAM menyertai ICQCC Beijing 2023 yang berlangsung pada 30 Oktober 2023 hingga 2 November 2023. Penyertaan secara dalam talian dengan tajuk Ineffective Recruitment Method for Early Childhood Centre Employee ternyata telah meyakinkan pihak juri sekaligus menganugerahkan pingat emas kepada Kumpulan DREAM. Tambah beliau lagi, walaupun penyertaan secara dalam talian, ianya sedikit pun tidak melemahkan semangat semua ahli kumpulan sebaliknya sokongan daripada pelbagai pihak di UPSI terutamanya Naib Canselor lebih menyuntik motivasi mereka untuk bertanding di peringkat antarabangsa.
Projek yang diketengahkan oleh Kumpulan DREAM ini sangat bermanfaat dan memberi impak positif terutamanya kepada pengusaha-pengusaha pusat asuhan dalam mendapatkan calon pekerja yang layak dan sesuai terutamanya dalam asuhan dan didikan kanak-kanak. Projek ini juga selari dengan kehendak kerajaan untuk menyediakan persekitaran berkualiti kepada kanak-kanak terutamanya di pusat asuhan sebagai usaha mengurangkan kes-kes yang melibatkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak.
Kesemua ahli kumpulan DREAM turut berbangga dengan pencapaian yang diperoleh dan menganggap ini adalah kejayaan termanis buat mereka. Mereka turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengurusan UPSI terutamanya Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ) yang memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menyertai pertandingan seumpama ini. Menurut ahli kumpulan DREAM, Eimiza Faisha Azmi, walaupun pada mulanya agak kurang yakin untuk menyertai pertandingan ini, tetapi berkat sokongan pelbagai pihak terutamanya pengurusan NCDRC dan BPQ telah mendorong mereka untuk mencuba sesuatu yang baru. Beliau turut berkata, komitmen yang tinggi dari setiap ahli di samping kesibukan tugasan hakiki menjadi kunci kejayaan dalam menghasilkan projek untuk menambahbaik pengurusan dalam organisasi. Setiap ahli kumpulan juga diberi peluang dalam menyumbang idea ke arah penambahbaikan berterusan.
Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ) UPSI berkata kemenangan Kumpulan DREAM di Konvensyen Antarabangsa ini merupakan satu penanda aras dalam menarik minat lebih ramai kakitangan UPSI untuk melibatkan diri dalam penghasilan inovasi yang dapat menambahbaik perkhidmatan dari semasa ke semasa.
Sebanyak 643 pasukan ICC dari seluruh dunia telah bertanding dalam ICQCC 2023 yang mana Malaysia diwakili oleh 44 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC). Antara negara yang terlibat adalah daripada Malaysia, India, Thailand, China, Zambia, Korea, Singapura, Indonesia, Sri Lanka, Taiwan, Mauritius dan Filipina.