UPSI: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) merupakan satu pusat penyelidikan di bawah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 21 Jun 2006. Melalui Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani UPSI dengan Bahagian PERMATA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kedua-dua pihak sentiasa bekerjasama dalam meningkatkan kualiti asuhan dan didikan kanak-kanak di Malaysia.
Melihat kepada kepakaran NCDRC, UPSI dalam penganjuran latihan dan program outreach kepada pendidik, Bahagian PERMATA, KPM telah menyatakan hasrat untuk memberi peluang latihan dan pembangunan profesionalisme kepada pendidik PAPN untuk menjalankan Kajian Tindakan. Kajian Tindakan lazimnya bertujuan untuk pendidik memperbaiki amalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, pendidik boleh menyelidik kaedah pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakannya untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajarannya.
Justeru, hasrat pihak Bahagian PERMATA disambut baik oleh NCDRC dengan melaksanakan Bengkel Kajian Tindakan kepada pendidik PAPN seluruh Malaysia selama 4 hari 3 malam bertempat di Oakwood Hotel & Residence, Kuala Lumpur bermula 29 Oktober dan berakhir pada 1 November 2023.
Menurut Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi NCDRC, Prof. Madya Dr Norazilawati Abdullah, Kajian Tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan mengggalakkan pendidik menyedari amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya. Beliau juga merupakan penulis buku Kajian Tindakan: Penyelidikan Asas di sekolah berpendapat, menerusi penyelidikan kajian tindakan ia membawa dua manfaat utama iaitu menggalakkan pendidik untuk mereflek amalan mereka dan seterusnya menggalakkan perubahan terhadap amalan tersebut. Ini bermakna pendidik perlu sentiasa memikir kembali segala tindakan yang dilakukan dalam amalan pengajaran mereka. Kajian Tindakan jarang sekali memberi penyelesaian muktamad bagi sesuatu masalah yang dihadapi. Pada peringkat pemerhatian dan refleksi, maklumat baharu akan diperoleh dan ada kalanya beberapa masalah baharu akan timbul yang memerlukan penyelidikan lain dijalankan di bawah penyelidikan sedia ada.
Penyelidikan tindakan sangat diperlukan kerana ia dapat meningkatkan profesionalisme pendidik agar lebih peka, sensitif dan responsif terhadap peningkatan pembelajaran anak didik mereka. Pendidik hari ini tidak boleh lagi hanya menjadi pengamal yang hanya berpuas hati untuk apa yang dilakukan selama bertahun-tahun tanpa ada usaha penambahbaikan dan inovasi, sebaliknya mereka boleh beraksi sebagai pengkaji dalam lapangan sebenar.
Latihan profesional Kajian Tindakan untuk Pendidik PERMATA ini telah melibatkan 26 orang pendidik yang terpilih dari seluruh PAPN di Malaysia. Berlokasi di Oakwood Hotel & Residence Kuala Lumpur, latihan 11 slot ini yang merangkumi pengenalan dan pendedahan tentang Kajian Tindakan, perancangan, pelaksanaan sehingga lah pelaporan lengkap dalam bentuk penulisan artikel jurnal didedahkan kepada pendidik PAPN. Latihan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Norazilawati Abdullah, Dr. Masayu Dzainudin dan Dr. Iylia Dayana Shamsudin dari NCDRC UPSI. Bengkel ini berakhir denga jayanya dan diharapkan pendidik PERMATA akan aplikasikan dan membudayakan penyelidikan tindakan untuk tingkatkan kualiti pengajaran mereka.

