Oleh: Nur Izzatul Amirah binti Abidin & Mohd Ali bin Abdul Malek
Tanjong Malim- Bersempena dengan minggu pendaftaran pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda Ambilan Oktober 2023, Kelab Al-Mursyidin & Pusat Islam dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar serta semua badan persatuan Gagasan Islam telah mengadakan Program Gaya Islam Gaya Semua (GIGS) yang di mana terdapat 4 sub-program yang telah dilaksanakan.
Program Khidmat Mesra AMC yang dilaksanakan pada 15 Oktober merupakan program yang menyambut pelajar baharu di samping ahli jawatankuasa membantu mengangkat barang-barang untuk memudahkan kemasukan ke kolej yang telah ditetapkan.
Program Talk: University Lifestyle yang berlangsung pada 31 Oktober bertempatkan di Masjid Al-Mursyidin. Program ini lebih berfokuskan kepada sesi sembang santai mengenai kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang berkualiti di kampus. Program ini telah menjemput Muhammad Zul Fikri Sallehuddin (Mantan YDP MPP sesi 2021/2022) dan Nik Ahmad Nuri Nik Ismail (YDP MPP sesi 2022/2023) sebagai pengisi jemputan.
Pada 3 November pula, gabungan Program Qiyamullail & Kuliah Subuh serta Street Dakwah: Mind Your Ikhtilat yang bertempatkan di Masjid Mursyidin serta kawasan-kawasan kolej yang berdekatan telah diadakan. Lebih 100 mahasiswa telah menghadiri program Qiyamullail & Kuliah Subuh yang menjemput pengisi jemputan, Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman, Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan. Sebanyak 100 pek makanan percuma juga telah diedarkan kepada peserta. Susulan daripada itu, program Street Dakwah juga telah dilaksanakan di mana ia berfokuskan kepada kesedaran mengenai ikhtilat antara mahasiswa dan mahasiswi kampus di sekitar kawasan kolej.
Sebagai penutup minggu GIGS, Program Let’s Talk: Antara Cinta & Cita-cita telah diadakan pada 4 November yang dimeriahkan oleh Mohd Zainudin Mohamed, penceramah selebriti yang dikenali sebagai Pencetus Ummah Yeop yang bertempatkan di Masjid Mursyidin. Pengisian ini lebih berfokuskan kepada cara menangani perasaan cinta dalam mengejar cita-cita sepanjang berada di alam universiti.
Diharapkan dengan segala perkongsian yang disampaikan dapat menjadikan mahasiswa UPSI sebagai pelajar yang berkualiti dan terjaga bukan sahaja dari sudut akademiknya tetapi juga akhlak dan sahsiah, sekaligus dapat menambah pengalaman dan kemahiran insaniah dalam diri setiap mahasiswa.