Oleh: Zulfa Auni Zul Azhar dan Nur Izzatul Amirah Abidin
Tanjong Malim- Pusat Islam dengan kerjasama Al-Mursyidin Club (AMC) bekerjasama dengan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Persatuan Bahasa Arab (PBA), Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Rakan Siswa Yadim (RSY), Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Persatuan Pendidikan Islam (PPI) dan Kelab Harmoni telah mengadakan Training of Trainers: Asas Kaunseling Syarie di bilik seminar Pusat Islam pada 28 Oktober.
Program ini merangkumi tiga sesi iaitu prinsip asas kaunseling syarie, proses kaunseling syarie dan slot terakhir adalah mempraktikkan proses kaunseling syarie. Jemputan utama bagi program ini adalah Profesor Madya Dr. Md Noor Saper, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pembangunan Manusia.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ustaz Muhammad Tarmizi Abd Rahman selaku Pengarah Pusat Islam dan Ustaz Mohd Ali Abd Malek selaku Penasihat Al-Mursyidin Club serta kehadiran setiap wakil dari persatuan ke Program Training of Trainers.
Bersesuaian dengan posisi panel jemputan, tajuk yang dibawakan adalah berkenaan cara mengenali dan mengendalikan masalah yang berlaku dalam kehidupan seharian khususnya sebagai seorang mahasiswa. Panel juga menyentuh tentang kepentingan menyayangi diri dan orang sekeliling serta keperluan untuk menerapkan setiap apa yang kita lakukan dengan amalan keagamaan.
Menerusi kesempatan ini juga, panel jemputan menerangkan tentang model kaunseling Al-Ghazali iaitu dengan mengenali diri (ma’rifah an nafs), pembersihan qalbu (takhalli), pengisian qalbu (tahalli), penilaian diri (muhasabah) dan kebahagiaan (saadah). Perkara ini telah diterapkan dalam aktiviti berkumpulan dengan mengikut situasi masing-masing. Diharapkan dengan segala perkongsian dalam program yang disampaikan dapat menjadikan mahasiswa/wi UPSI menyelesaikan masalah dan menjadikan pemimpin yang lebih baik.