Teluk Intan, 14 November – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui ResQ Team UPSI hari ini menghulurkan bantuan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan yang menempatkan seramai 108 mangsa banjir yang terjejas di sekitar kawasan tersebut.
Sumbangan pek makanan kering dan barangan keperluan yang meliputi beras, air mineral, biskut, tuala wanita dan lain-lain telah diagihkan kepada 32 keluarga oleh Mohamad Amin, Pegawai Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar UPSI kepada pihak PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.
Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berharap inisiatif yang dilakukan oleh ResQ Team UPSI ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa banjir di PPS tersebut.
“Pihak kami amat bersimpati akan nasib yang menimpa dan sedikit sebanyak bantuan ini juga membuktikan bahawa UPSI sentiasa cakna serta prihatin dalam mengatasi masalah yang membebani masyarakat yang ditimpa bencana”, katanya.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, UPSI sentiasa memainkan peranan dalam perkara ini bagi memastikan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas dapat disegerakan dan diselaras dengan baik.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata tindakan yang dilakukan ini selaras dengan apa yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu membangunkan Malaysia MADANI melalui prinsip ihsan dan kesejahteraan terhadap rakyat.
“Di sinilah peri pentingnya dalam mendidik serta memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi malah turut menyokong misi dan visi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Menyemarak Semangat #KPTPrihatin”, tambah beliau lagi.