Norazlina Khairuddin, Nurul Nabilla Ma-hassan & Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC)

Tanjong Malim: Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2023 berlangsung dengan meriah dan dihiasi dengan pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan merangkumi slot pertandingan kanak-kanak, program komuniti, program pemindahan ilmu dan forum berkaitan perundangan kanak-kanak, jualan serta pameran dari pelbagai agensi

Sambutan yang bertemakan ‘Hak Kami, Masa Depan Kami’ itu berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 November mendapat perhatian penuh pelbagai peringkat sekolah di Negeri Perak dengan 400 orang kanak-kanak dan pendidik yang menyertai aktiviti selama program ini berlangsung.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyatakan rasa bangga dan terima kasih kepada Pihak Kerajaan Negara Perak di atas sokongan dan kerjasama dalam penganjuran Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di UPSI.

Prof. Md Amin menyerahkan cenderamata kepada YB. Dato’ Salbiah Mohamed

Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak dirasmikan oleh YB. Dato’ Salbiah Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak.

“UPSI sentiasa komited melaksakan program dalam memastikan pembangunan kanak-kanak bukan sahaja di Negeri Perak tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa agar UPSI terus menyumbang dari segi kepakaran, penyelidikan dan pendidikan dan seterusnya memberikan yang terbaik untuk generasi masa hadapan negara,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara agensi perlu dilaksanakan secara konsisten demi untuk masyarakat bersama memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan kehidupan kanak-kanak.

“Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak diadakan untuk mengingatkan kita sebagai orang dewasa yang akan bertanggungjawab terhadap kanak-kanak dan juga bagi mengingatkan kanak-kanak akan tanggungjawab mereka terhadap sahabat atau rakan sebaya mereka,” ucapnya.

Beliau juga menambah bahawa kanak-kanak adalah aset masa depan negara dan menaruh kepercayaan kepada UPSI melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dalam membantu kerajaan Negeri Perak dan Malaysia untuk sentiasa menyediakan satu dasar yang baik dalam menyantuni dan menyediakan ruang yang baik mengikut keperluan pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Turut hadir bersama Nortipah Majin, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Jamilah Zakaria dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Pengarah NCDRC dan Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim.

Majlis ini diserikan dengan persembahan tarian dari pelajar SJKT Ladang Behrang River dan SK Perlok, Sungkai manakala persembahan bercerita disampaikan oleh adik Girishan A/L Mayandy dari Tabika Kemas Slim Village. Kanak-kanak NCDRC menutup tirai majlis dengan persembahan nyanyian lagu rasmi NCDRC dengan penuh semangat.

Sambutan kali ini juga meraikan Anugerah Tokoh Kanak-kanak yang dimenangi oleh Emelda Camelia Abdul Razak dari SMK Perempuan Methodist Ipoh, Al-Baaqiyatus Solehah Ahmad Umair dari SK Seri Tronoh dan Nurrifa Rifqah Hamad Balya dari SK Batu Kurau.

UPSI melalui NCDRC dan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, FPM akan terus bekerjasama lebih erat dengan semua agensi dan menerajui dalam memartabatkan lagi mutu pendidikan awal kanak-kanak yang terkini, berkesan dan sistematik melalui pengijazahan guru-guru pendidikan awal kanak-kanak, kursus jangka pendek dan jangka panjang, forum dan seminar serta segala jenis kerjasama pendidikan,  profesional, kepakaran, keusahawanan dan sumbangan komuniti.

Ini mwmbuktikan bahawa UPSI sebagai Peneraju Kebitaraan Pendidikan akan sentiasa memberikan warna baru dalam mewujudkan sistem pendidikan dan perkhidmatan terbaik serta meluaskan lagi jaringan kecemerlangan di dalam dan luar negara.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)