Oleh: Sudhani The Zhi Hui

Tanjong Malim: Kesenian dan kebudayaan adalah sebuah sentuhan peradaban yang menggambarkan kepelbagaian, toleransi, kebersamaan dan kesefahaman yang dibentuk untuk kebanggaan kehidupan sesebuah masyarakat.

Seni dan budaya juga sering dipersembahkan dengam menanam nilai murni dan cerita-cerita rakyat yang disimpan rapi dalam sesebuah persembahan seni yang kreatif, elegan dan penuh dengan makna.

Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) melalui Exco Kesenian dan Kebudayaan Majlis Mahasiswa Kolej KHAR telah menganjurkan Program Semarak Seni dan Budaya@ SENADA KHAR yang berlangsung pada Sabtu, 18 November yang mengalu-alukan 1000 orang penonton yang menjadi saksi kemeriahan program semarak seni dan budaya.

Seramai 20 peserta yang bertanding dengan menunjukkan persembahan yang penuh dengan konsep dan penceritaan serta dihiasi dengan gimik dan sentuhan kreatif bagi merebut gelaran juara.

Program dimulakan dengan nyanyian paduan suara yang mempersembahkan irama bernuansa minangkabau lalu dihias pula dengan penjiwaan puisi klasik melayu berserta persembahan nyanyian lagu medley Dikir Puteri, Mentera Semerah Padi dan Cindai yang diiringi pesona tarian tradisional zapin melayu berkonsepkan ‘Puteri Gunung Ledang’.

Menurut Pengarah Program SENADA 2023, Nik Shahruddin Mat Jusoh menjelaskan program ini bertujuan untuk mencungkil bakat mahasiswa UPSI dan KHAR khususnya dalam program kesenian dan kebudayaan.

“Saya melihat perpaduan yang utuh dapat dibina melalui persembahan seni. Saya sebagai mahasiswa seni juga merasakan bahawa seni membuatkan mahasiswa dengan latar belakang budaya yang berbeza, menelan ego dan bersatu untuk menghasilkan karya yang indah untuk dipersembahkan,” katanya.

Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid  meluahkan rasa bangga dan puas melihat perjalanan program yang penuh dengan warna warni dan kemeriahan dari pelbagai sudut.

“Malam ini saya melihat sebuah program yang bukan biasa-biasa sahaja. Saya melihat banyak bakat dan potensi mahasiswa KHAR untuk kita bawa ke peringkat yang lebih tinggi. Semua persembahan yang dipersembahkan sebentar tadi membuktikan bahawa saya yakim yang kita memang boleh melaksanakan program-program berimpak tinggi bagi membantu universiti melahirkan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing dalam pelbagai bidang,” ucapnya.

Beliau menambah lagi bahawa program seni budaya ini akan menjadi penanda aras untuk program berimpak tinggi yang akan dianjurkan KHAR setelah ini.

Turut hadir bersama Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin, Ketua Felo,  Hazman Ya’akob, Felo Blok Kediaman 1, Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi,  Felo Blok Kediaman 4 dan Nurul Najwa, Felo Blok Kediaman 2.

Juri untuk edisi SENADA kali ini terdiri dari penggiat aktif seni yang terlibat secara langsung dalam seni persembahan termasuklah teater, nyanyian, tarian dan muzik. Kredibiliti juri dalam penjurian sesebuah pertandingan seni perlu didasari dengam kepakaran dan pencapaian mereka dalam bidang seni persembahan untuk menilai setiap persembahan dari segi kreativiti, penyampaian dan  pola persembahan.

Kesemua juri terdiri daripada alumni UPSI dan ini menunjukkan bahawa UPSI sentiasa melahirkan bakat-bakat luar biasa sehingga kesemua mahasiswa mempunyai kepakaran lain yang tidak hanya tertumpu kepada pendidikan sahaja malahan bidang kesenian secara profesional.

Kumpulan Singkang Gemalai menjadi pilihan penonton apabila persembahan mendapat undian tertinggi dari semua penonton yang hadir. Pola persembahan yang penuh dengan cerita, jenaka dan tarian yang penuh dengan drama dan rapi. Tempat ketiga dimenangi oleh Sayapmurba dengan deklamasi saja bertemakan perjuangan. Putra Danish Fahmi membolot 2 anugerah iaitu Anugerah Persembahan Terbaik dan Naib Juara dengan membawa silat kedalam puisi dan Johan SENADA KHAR 2023 dinobatkan kepada Steve Devon Buyong yang membawa makna dan cerita mendalam dalam lagu Dawai.

Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran rombongan mahasiswa dari Universitas Negeri Yogyakarta dan Universitas Negeri Padang, Indonesia. Mereka juga membuat persembahan Karna Su Sayang bersama bersama mahasiwa UPSI.

Kebersemaan di antara Malaysia dan Indonesia sewaktu persembahan membuktikan bahawa seni sebagai platform persatuan dan keharmonian serumpun. Kesefahaman dan nilai saling menghormati sesama masyarakat dapat dipupuk dalam diri mahasiswa untuk menjadi seorang yang mempunyai toleransi dan prinsip untuk hidup bermasyarakat dengan lebih baik.

Penasihat Program, Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi meluahkan rasa syukur program ini berjaya dijalankan dengan lancar dan sempurna.

“Segala pergerakan persembahan dan alur pertandingan disusun dengan konsep yang matang dan perkiraan yang teliti. Setiap AJK memainkan peranan mereka dengan baik dan saya yakin KHAR akan terus menyediakan ruang mahasiswa UPSI berkarya dan menonjolkan bakat mereka.” Ujarnya.

SENADA KHAR 2023 membuktikan bahawa seni bukan hanya sebuah pertunjukan tetapi ia adalah media untuk mempersembahkan nilai perpaduan diantara kaum dan menerima segala perbezaan budaya serta saling menghargai sesama agar terus hidup dalam keharmonian dan bangga sebagai rakyat Malaysia.